Utusan Borneo (Sarawak)

Kes khianat dua pusat ibadat disiasat

-

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian khianat terhadap dua pusat ibadat membabitka­n sebuah gereja dan kuil Hindu di Jalan Hamzah di sini, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejadian tersebut disedari oleh penjaga gereja Methodist itu pada jam 12 tengah malam kelmarin selepas mendengar satu letupan berlaku di tingkat atas bangunan tersebut.

“Penjaga gereja itu kemudianny­a ke tingkat dua gereja dan mendapati cermin pusat ibadat itu pecah selain menemui satu tong penapis air yang mempunyai kesan terbakar,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Hasanuddin berkata, siasatan awal mendapati penapis air berkenaan dicampak oleh suspek yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Livina daripada laluan bertingkat ke Pasir Pekan.

Beliau berkata dalam satu lagi kejadian yang berlaku lebih kurang serentak, pihak polis turut menemui sebuah lagi tong penapis air yang dicampak di dalam Kuil Subramaniy­ar yang terletak bersebelah­an gereja tersebut, yang disyaki dilakukan suspek yang sama.

Hasanuddin berkata pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes itu bagi mengetahui motif sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis Kota Bharu dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana khianat tempat ibadat.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada rombongan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan yang diketuai pemangku Presidenny­a Datuk Seri Zukri Samat.

Dalam majlis tersebut pihaknya turut menerima sumbangan cek bernilai RM20,000 bagi pembinaan tandas di Balai Polis Kubang Kerian selain untuk membaikpul­ih tiga surau membabitka­n surau IPK, surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan surau Balai Polis Kota Bharu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia