Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu dan anak diberkas kes pecah rumah guru

-

KANGAR: Tiga individu termasuk seorang ibu dan anak lelakinya yang dipercayai memecah masuk rumah seorang guru di Kampung Beseri Dalam, Padang Melangit, dekat sini Khamis lepas diberkas polis, petang kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew mereka ditangkap berdasarka­n enam cap jari yang dikesan polis bahagian forensik di rumah mangsa yang berumur 34 tahun itu.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, kesemua suspek diberkas di rumah masing-masing di Chuping antara jam 5 petang hingga 7 malam kelmarin.

“Wanita tersebut berumur 50 tahun dan anak remajanya berumur 17 tahun yang disoal siasat selepas ditangkap telah membawa polis kepada penahanan seorang lelaki berumur 29 tahun bersama hasil jenayah mereka.

“Lelaki tersebut yang menjadi perancang utama jenayah itu mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Wari dan menambah ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

Wari berkata, guru wanita itu hanya menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik kembali dari bekerja kira-kira jam 1.50 petang Khamis lepas apabila mendapati keadaan rumah berselerak manakala almari tempat menyimpan barang- barang kemasnya dipecahkan.

Dalam aduannya, guru itu berkata dia kehilangan empat utas rantai tangan, tiga bentuk cincin emas, dua pasang subang emas serta satu utas gelang tangan emas dan satu utas rantai leher emas, semuanya bernilai kira-kira RM12,000.

Menurut Wari wanita berumur 50 tahun itu berperanan sebagai penggadai barang- barang curi yang dilakukan oleh perancang utama jenayah tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia