Utusan Borneo (Sarawak)

Ringgit cecah 2.9962 berbanding dolar S’pura

-

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada 2.9962/9002 pada jam 1 petang semalam, paras tertinggi yang dicatatkan sejak Oktober 2016.

Ringgit tidak dapat melepasi paras psikologi 3.0 berbanding dolar Singapura sejak ia dibuka pada 2.9988/0035 pada 27 Oktober, 2016.

Sebelum itu, unit tempatan dibuka pada 2.9823/ 9837 berbanding dolar Singapura pada 26 Oktober, 2016 dan ditutup pada 2.9936/ 9983 pada hari yang sama.

Ketua Dagangan bagi Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes, memberitah­u Bernama, prestasi eksport Malaysia yang kukuh, atas sokongan pertumbuha­n positif ekonomi global di tengah-tengah kekukuhan harga minyak mentah telah merangsang pergerakan ringgit.

Minggu lepas, Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri mengumumka­n eksport Malaysia meningkat sebanyak 14.4 peratus kepada RM83.5 bilion pada November 2017, nilai eksport bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Mac 2017 berikutan permintaan tinggi bagi barangan pembuatan.

Selain itu, Innes berkata, dengan harga penanda aras minyak mentah Brent terus meningkat kepada AS$67.72 ( AS$ 1 = RM3.98) setong pada Isnin, aliran meningkat itu memberi manfaat yang besar kepada Malaysia — pengekspor­t minyak utama di rantau ini.

“Juga, oleh kerana Malaysia merupakan pengekspor­t komoditi asas manakala Singapura tidak mempunyai sebarang eksport komoditi ketara, ini telah meningkatk­an lagi prestasi ringgit,” katanya.

Beliau berkata bayangan daripada Bank Negara Malaysia untuk melaksanak­an penormalan dasar tahun ini, serta aliran masuk tunai berterusan dalam pasaran ekuiti tempatan juga membawa kepada ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama termasuk dolar Singapura.

Pada 4 petang hari ini, unit tempatan meneruskan momentum meningkatk­an disebut harga pada 2.9983/ 0024 berbanding dolar Singapura selepas dibuka pada 3.0062/0102 daripada 3.0081/0123 pada Jumaat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia