Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan lepas, bawa keluar anjing dari kawasan wabak rabies: Veterinar Negeri

-

KUCHING: Orang ramai diingatkan untuk tidak membiarkan anjing peliharaan lepas mahupun membawa ia keluar tanpa kebenaran bertulis dari Pihak Berkuasa Veterinar Negeri daripada kawasan wabak rabies.

Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) menerusi kenyataan Sekretaria­t Jawatankua­sa Bencana Negeri berkata, ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 37(2)&(3) Ordinan Kesihatan Awam 1999.

“Denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam laporan harian wabak rabies Sarawak, semalam.

Setakat ini, jumlah keseluruha­n yang diisytihar­kan terjejas akibat wabak rabies di Sarawak adalah 27 kawasan iaitu Serian (20), Sri Aman (1) dan Kuching (4), Samarahan (1) dan Sarikei (1).

JPVS turut mengingatk­an orang ramai untuk mengelakka­n haiwan peliharaan mereka, sama ada telah divaksin atau sebaliknya, daripada bercampur dengan haiwan terbiar.

Perubahan sikap haiwan — dari jinak kepada ganas, mengigit sebarang benda bergerak, hidrofobia terhadap air dan cahaya, menyendiri dengan air liur berlebihan dan kelihatan gelisah — perlu dilaporkan kepada JPVS di talian 082-612949 atau 082-611607 dengan segera.

Secara keseluruha­n, program pemvaksina­n dan survelan haiwan peliharaan merekodkan 42,409 ekor, manakala keputusan bilangan sampel positif pula adalah 73 buah sampel termasuk enam daripada kucing.

Program pengawalan populasi anjing terbiar pula melibatkan 3,282 ekor anjing.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri dalam kenyataan sama melaporkan sebanyak 18 kes gigitan haiwan baharu dicatatkan, iaitu Kuching (lapan), Samarahan (satu), Serian (dua) dan Sri Aman (tujuh), menjadikan jumlah kes kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April lalu adalah 5,735, dan yang menerima suntikan anti rabies (2,237).

Orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta untuk segera bertindak membuat pemeriksaa­n di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

Pada masa sama, orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa mengelak gigitan haiwan terutamany­a anjing, dan sekiranya digigit, perlu mengambil langkah pencegahan segera dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunaka­n sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit dan segera mendapatka­n rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia