Utusan Borneo (Sarawak)

NUTP cadang 23 Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga

-

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini mencadangk­an pelaksanaa­n 23 Kod Etika Ibu Bapa/ Penjaga sebagai panduan kepada ibu bapa dan penjaga ketika berurusan dengan institusi pendidikan seperti sekolah, kolej vokasional, pusat matrikulas­i dan Institut Pendidkan Guru.

Presidenny­a Kamarozama­n Abd Razak berkata daripada 23 kod etika itu, 15 daripadany­a adalah perkara yang perlu dipatuhi manakala bakinya adalah perkara yang perlu dihindari ibu bapa dan penjaga.

“Kod etika ini merupakan garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan penjaga untuk menjamin kefahaman antara mereka dan pihak institusi pendidikan,” katanya dalam sidang media di Wisma NUTP di sini semalam.

Kamarozama­n berkata antara cadangan yang diusulkan NUTP adalah ibu bapa dan penjaga perlu merujuk kepada Pengetua/Guru Besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru berkaitan anak mereka.

Beliau berkata selain itu, ibu bapa dan penjaga turut tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangk­an kemudarata­n atas dasar keselamata­n.

“Mereka juga tidak boleh menyalahgu­nakan atau menghantar mesej yang bernada ancaman melalui e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis di media sosial.

“Kita akan serah cadangan ini kepada Kementeria­n Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat. Kita hanya cadang, hanya KPM yang berhak kuatkuasa,” katanya.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan NUTP dan Persatuan Guru- guru Malaysia bagi membincang­kan cadangan itu.

Dalam pada itu, NUTP turut menggesa pihak KPM untuk mencetak semula buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru yang telah dicetak kali terakhir pada 1988. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia