Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita didakwa tipu pelaburan emas

-

PETALING JAYA: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pelaburan emas berjumlah RM128,860, tahun lepas.

Rahimah Mohammad, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapny­a dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Wanita itu dituduh menipu Suhairi Nordin, 53, dengan memperdaya­kan mangsa untuk mempercaya­i tertuduh menjalanka­n pelaburan emas bernama Let’s Duit yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahka­n wang RM128,860 kepada tertuduh untuk melakukan pelaburan emas.

Rahimah didakwa melakukan kesalahan itu di lobi sebuah hotel, di sini, pada 11.06 malam, 5 Jun tahun lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh yang diwakili peguam Esther Tan memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak bekerja serta mempunyai tiga anak.

“Tertuduh juga menghidap penyakit asma yang teruk selain suaminya mempunyai sakit tulang belakang,” katanya.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac untuk sebutan semula kes. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia