Utusan Borneo (Sarawak)

Johor sasar siapkan 13,000 rumah mampu milik

-

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyasarka­n untuk membina 13,000 rumah mampu milik pada tahun ini dalam usaha mencapai sasaran 60,000 unit pada 2020.

Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Md Jais Sarday berkata ini merupakan misi utama pihaknya tahun ini, selain menyelesai­kan isu rumah kuota Bumiputera yang tidak terjual.

“Hingga kini, kita telah membina sebanyak 16,010 rumah mampu milik di seluruh negeri. Jadi, ini adalah kesinambun­gan sasaran kita selain menyelesai­kan isu perumahan yang tidak terjual.

“Cabaran lain yang kita hadapi ialah penyediaan rumah kepada golongan berpendapa­tan sederhana (M40), yang mana pada bajet sebelum ini kita bercadang untuk membina 10,000 unit pada tahun ini pada harga RM200,000 hingga RM400,000 selain cabaran pemaju-pemaju berhadapan dengan kos bahan binaan yang mahal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaia­n Amanat Bersama Penjawat Awam Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahaan dan Setiausaha Kerajaan Bahagian Kerajaan Tempatan 2018 di sini, semalam.

Md Jais berkata bagi menyelesai­kan isu perumahan Bumiputera yang tidak terjual, kerajaan negeri menggunaka­n pendekatan pelepasan kuota Bumiputera dengan syarat mengambil kira unit berkenaan tidak terjual 12 bulan dari tempoh siap atau 50 peratus daripada pemajuan telah diselesaik­an.

“Cadangan pelepasan lain seperti penjualan keseluruha­n unit bukan Bumiputera perlu dilihat dengan lebih teliti kerana ia mengambil masa dan kita tidak mahu pemaju menunggu terlalu lama untuk membuat pusingan modal.

“Kalau rumah mampu milik yang dibina tidak terjual ia akan memberikan kesan yang buruk kepada pemaju kerana mereka tidak dapat membuat pusingan modal jadi kerajaan negeri perlu adil,” katanya.

Bagi portfolio Kerajaan Tempatan, Md Jais berkata fokus pada tahun ini adalah pada isu kebersihan dan pihaknya telah meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberikan tumpuan kepada keceriaan di kawasan bandar dan perumahan.

“Saya telah pun mengadakan perjumpaan dengan PBT Pengerang dan akan pergi ke PBT lain dalam tempoh terdekat. PBT perlu ingat, apa pun yang kita laksanakan, perlu ada persefaham­an dengan masyarakat kerana kalau masyarakat faham apa yang kita cuba laksanakan, masyarakat akan sokong.

“Masyarakat juga tidak boleh terlalu bergantung kepada PBT untuk menyelesai­kan pelbagai perkara termasuk isu kecil yang boleh ditangani sendiri. Jadi perlu ada persefaham­an dan tolong-menolong antara PBT dan masyarakat,” jelasnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia