Utusan Borneo (Sarawak)

Gonzalez pilih sarung jersi Mexico

-

LOS ANGELES: Jonathan Gonzalez, seorang pemain tengah remaja untuk kelab Monterrey di Mexico, telah memilih untuk bermain bola sepak antarabang­sa bersama Mexico dan bukan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan kelmarin.

Univision dan ESPN, yang memetik sumber tidak bernama, melaporkan Gonzalez akan mewakili El Tri selepas dia bermain untuk AS pada peringkat remaja.

Keputusan itu mesti mendapatka­n kelulusan muktamad dari pihak berkuasa tetapi pemain berusia 18 tahun itu, yang dilahirkan kepada ibu bapa Mexico di pinggir bandar San Francisco, sudah membuat pilihannya.

Prestasi Gonzalez bersama Monterrey membolehka­nnya dinamakan dalam Pasukan 11 Terbaik dalam Liga Mexico.

Peraturan FIFA membenarka­n pemain untuk membuat perubahan kerakyatan sekali sahaja jika mereka belum bermain untuk pasukan kebangsaan senior dalam perlawanan kompetitif.

Jika dokumen sempat siap, Gonzalez mungkin akan membuat penampilan sulung untuk Mexico pada 31 Januari apabila mereka menentang Bosnia dan Herzegovin­a.

Jurulatih Mexico Juan Carlos Osorio bercakap kepada Gonzalez menerusi telefon dan seorang pegawai Mexico melawat Gonzalez pada musim percutian ketika pemain itu dilaporkan tidak gembira kerana tidak menerima penjelasan selepas tidak disenaraik­an dalam skuad AS bagi satu perlawanan pada November lalu di Portugal.

Pasukan Mexico sedang bersiap sedia untuk Piala Dunia di Rusia pada Jun manakala pasukan Amerika gagal untuk layak. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia