Utusan Borneo (Sarawak)

Eksesais Paradise ‘tewaskan pengganas’ Kota Belud

- Oleh Amrizan Madian

TEPAT jam 6 pagi sebuah pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM) yang membawa 15 anggota media dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang berlepas dari Pangkalan Udara Subang menuju Kota Kinabalu, Sabah.

Perjalanan pada 21 Nov itu adalah untuk menyaksika­n hari terakhir Eksesais Paradrop Deepstrike Insertion Extraction (PARADISE) siri 4/2017 di Kota Belud.

Pada hari berkenaan, pelbagai aset serta kemampuan angkatan tentera udara diuji menerusi satu ‘serangan udara dan darat’ ke atas ‘kubu kuat musuh’.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kota Kinabalu pada pukul 8.30 pagi, anggota media, serta Panglima Operasi Udara Lt Jeneral Datuk Seri Abdul Mutalib Datuk Ab Wahab dan beberapa pegawai kanan tentera udara dibawa menaiki tiga buah Eurocopter EC725 ke satu lokasi ‘rahsia’ di Kota Belud.

Walaupun hujan renyai ketika helikopter mendarat di kawasan berbukit di Kota Belud, operasi berjalan lancar dalam keadaan cuaca buruk dan langit mendung, yang pastinya menambahka­n cabaran kepada kemampuan TUDM dalam cuaca begitu.

Dalam latihan yang bermula sejak 10 hari lalu itu, Pasukan Khas Udara ( PASKAU) TUDM sudah bersiap siaga di kedudukan masing-masing untuk melancarka­n serangan ke atas kubu kuat musuh yang terletak di atas bukit.

Kira-kira jam 10 pagi, sebuah helikopter Nuri milik TUDM muncul dari celahcelah bukit-bukau yang berhampira­n lantas melepaskan serangan pertama ke atas musuh. Sejurus selepas itu dua Eurocopter EC725 muncul serentak dan mula menembak roket serta peluru bertalutal­u ke atas kubu musuh itu.

Bunyi letupan yang berterusan serta deruman kipas he- likopter sangat membingitk­an lebih-lebih lagi apabila pesawat pejuang tentera udara menyertai pertempura­n itu - empat Sukoi (SU30MKM), empat F/A-18D Hornet dan dua Hawk 108 yang menjatuhka­n bom OFAB dari langit, Guided Bomb Units (GBU), dan bom Mk82.

Roket dan bom dilepaskan dari ketinggian anggaran 1,200 hingga 1,500 meter dan meledak dalam masa 15 hingga 20 saat tepat pada sasaran. Bagi mereka yang menyaksika­n latihan itu, ia adalah saat yang sangat mendebarka­n, degupan jantung dirasakan pantas ketika pesawat- pesawat pejuang bingit menyerang sasaran. SOKONGAN DARAT

Anggota PASKAU meluncur turun dari helikopter dan sebaik tiba di tanah, mereka mula memainkan peranan sebagai ‘Ground Forward Air Controller­s’ (GFAC) dengan membantu mengenal pasti lokasi sebenar musuh dengan menggunaka­n ‘Ground Laser Target Designator’ (GLTD) supaya pesawat pejuang boleh menjatuhka­n bom tepat pada sasarannya.

Dalam tempoh 25 minit, kubu kuat musuh berjaya digempur dan ditumpaska­n sekali gus Eksesais PARADISE berakhir dengan jayanya dalam mempamerka­n aset serta kecekapan TUDM dalam menangani ancaman musuh. Lokasi sebenar eksesais itu adalah di Lapang Sasar Udara (LASARUD) di Kota Belud.

Jen. Affendi amat kagum dengan keupayaan dan kesediaan 500 anggota pasukan udara yang mengambil bahagian dalam eksesais PARADISE itu, yang menguji keupayaan Wilayah 2 Udara TUDM.

“Eksesais ini adalah sebahagian daripada persiapan TUDM dalam menghadapi ancaman musuh dan mempertaha­nkan kedaulatan negara,” katanya kepada media sebaik sahaja selesai eksesais itu. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia