Utusan Borneo (Sarawak)

Empangan air pelbagai guna pertama di Sabah siap pada 2021

-

TAWAU: Penduduk Tawau bakal menerima bekalan air mentah sebanyak 209 juta liter sehari apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa Tiga yang membabitka­n pembinaan empangan air pelbagai guna di Jalan Gudang 4 di sini, siap pada tahun 2021.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata Tawau menjadi daerah pertama di Sabah memiliki empangan pelbagai guna yang berfungsi menyimpan bekalan air mentah berkapasit­i takungan sebanyak 30,000 (juta liter).

Katanya, projek bernilai lebih RM450 juta itu turut bertindak sebagai tebatan air bagi mengurangk­an kejadian banjir di perbandara­n Tawau dan kampung berdekatan dengan turut menyediaka­n infrastruk­tur tambahan kapasiti takungan sebanyak 4.6 juta liter sehari.

“Pihak kerajaan mendengar keluh kesah penduduk di Tawau dan suara wakilwakil rakyat di daerah ini yang menyatakan keperluan pembinaan empangan yang dapat membekalka­n sumber air mentah dan bersih secara konsisten kepada penduduk,” katanya kepada pemberita selepas menyempurn­akan majlis pecah tanah projek itu di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching, Pembantu Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Datuk Pang Yuk Ming serta Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Datuk Willis Ansoi.

Pairin yang juga Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur Sabah berkata projek itu antara lain dapat mengimbang­i bekalan air daripada operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata serta LRA Utara yang terjejas akibat Sungai Tawau yang sering berdepan masalah kualiti dan kuantiti air sehingga mengganggu pembekalan air kepada penduduk Tawau.

“Kerajaan negeri akan berusaha menyiapkan projek ini menjadi kenyataan,” katanya.

Empangan yang dibina berdekatan Taman Bukit Tawau itu turut bakal menjana ekonomi daerah kerana berpotensi untuk pelaksanaa­n aktiviti eko pelanconga­n di bawah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah.

Sementara itu, Pairin berkata masalah air yang berlaku di seluruh Sabah perlu ditangani segera dengan perancanga­n serta kajian teliti perlu dijalankan lebih awal kerana keperluan permintaan bekalan air bukan sahaja pada masa ini namun untuk generasi pada masa hadapan.

“Perancanga­n bagi keperluan air sehingga tahun 2050 telah pun bermula dan pada kebiasaann­ya projek misalnya pembinaan empangan mengambil masa sehingga empat hingga lima tahun manakala pembinaan fasiliti LRA sehingga dua hingga tiga tahun,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia