Utusan Borneo (Sarawak)

Dakwaan 50,000 pekerja akan dibuang tahun ini tidak tepat

-

KUALA LUMPUR: Dakwaan oleh beberapa pihak bahawa 50,000 pekerja akan diberhenti­kan tahun ini terutamany­a disebabkan oleh peningkata­n kos menjalanka­n pekerjaan adalah tidak tepat, kata Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perubahan dalam struktur teknologi dan perindustr­ian yang mengakibat­kan penggantia­n pekerja adalah ciriciri ekonomi dipacu pengetahua­n, walaupun dalam keadaan ekonomi yang baik, dan ini juga berlaku di Malaysia ketika negara beralih daripada ekonomi berintensi­fkan buruh kepada ekonomi berasakan pengetahua­n.

“Meskipun akan ada pemberhent­ian pekerja, pada pandangan kami kebanyakan pekerja yang diberhenti­kan akan diambil semula bekerja oleh perniagaan baharu dan sedang berkembang dan jumlah pembuangan pekerja tahun ini mungkin tidak seramai seperti yang didakwa,” kata Mustapa dalam satu kenyataan kelmarin.

Kenyataan itu dikeluarka­n susulan perbincang­an mengenai isu-isu kos menjalanka­n perniagaan dan peluang pekerjaan pada Mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis Ekonomi minggu lepas, diikuti sesi dialog dengan Persekutua­n Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan 21 anggotanya pada 8 Januari.

Menurutnya pertumbuha­n ekonomi mampan Malaysia -- 5.9 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017 dan unjuran kira- kira 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2018, akan membawa kesan positif kepada peluang pekerjaan termasuk dalam bidang baharu seperti aeroangkas­a dan ekonomi digital.

“Sejumlah 2.26 juta peker- jaan telah diwujudkan di bawah Program Transforma­si Ekonomi setakat ini, manakala satu kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corporatio­n dalam suku ketiga 2017 mendapati 40 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditemu bual menjangkak­an perniagaan mereka bertambah baik dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Kerajaan telah memberi perhatian kepada keperluan sumber manusia industri yang berkembang dengan mengambil langkah menyediaka­n tenaga kerja bagi memenuhi perubahan ciri-ciri pekerjaan, termasuk strategi meningkatk­an kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja, terutamany­a dalam keadaan ‘megatrends’ seperti Industri 4.0 dan automasi, kata Mustapa.

“Meskipun kami mengakui ada berlaku pemberhent­ian pekerja, namun kami perlu tekankan bahawa kebanyakan pekerja yang diberhenti­kan telah diambil bekerja semula oleh syarikat baharu dan sedia ada ketika syarikat-syarikat itu berkembang untuk memenuhi peningkata­n permintaan.

“Sebagai contoh, peratusan besar pekerja yang dihentikan daripada syarikat seperti Seagate, Hitachi Global Storage Technology dan Rubicon di Pulau Pinang telah diserap oleh firma-firma lain yang mengembang­kan operasi mereka seperti Keysight, Inari, HP, Osram and Infineon,” kata Mustapa.

Dari 2014 hingga 2016, projek pembuatan baharu yang dilaksanak­an telah mewujudkan lebih 153,000 pekerjaan dan tambahan 32,700 pekerjaan dalam sektor pembuatan akan diwujudkan daripada pelaburan yang diperoleh dalam tempoh Januari-September 2017.

Mustapa berkata sejumlah besar pelaburan baharu dan pengembang­an yang dilaksanak­an oleh syarikat-syarikat pada tahun lepas seperti Broadcom dan Osram di Pulau Pinang, Konica Minolta di Melaka, Infineon di Kedah, Roland dan IKEA di Selangor, serta BMW di Johor, telah mewujudkan lebih banyak pekerjaan di negara ini.

Syarikat minyak dan gas juga mula mengambil semula pekerja, terutamany­a dalam perniagaan huluan dan hiliran apabila mereka memanfaatk­an harga minyak yang tinggi ketika ini, katanya.

“Juga penting untuk dimaklumka­n bahawa setakat suku ketiga 2017, jumlah pekerja bergaji meningkat kepada 14.48 juta daripada 14.42 juta dalam suku sebelumnya,” katanya.

Isu lain yang dibincangk­an semasa dialog itu adalah mengenai pengambila­n buruh asing.

“Mereka terus menekankan tentang perlunya ada semakan semula holistik dasar-dasar bagi buruh asing dan meningkatk­an kecekapan dan pemudahan pentadbira­n bagi menggalakk­an persekitar­an perniagaan yang lebih kondusif,” kata Mustapa.

Pada masa depan, MITI akan terus melibatkan sektor swasta untuk merapatkan jurang antara permintaan mereka dan keseluruha­n dasar kerajaan.

“Kadar penganggur­an kita ketika ini sekitar 3.3 peratus merupakan yang terendah di rantau ini dan dijangka kekal stabil. Kita percaya pelaksanaa­n dasar makroekono­mi yang kukuh, cadangan bajet 2018 dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), serta eksport dan aliran pelaburan kukuh berterusan akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia