Warga KPKKBS rai Ik Pahon pada majlis perpisahan
KUCHING: Warga Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KPKKBS) menghadiri majlis perpisahan bekas Setiausaha Tetap kementerian itu, Datu Ik Pahon Joyik malam kelmarin.
Ik Pahon akan menjawat jawatan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.
Beliau digantikan bekas Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee berkuat kuasa Rabu lalu.
Berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, majlis itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Ik Pahon selama lapan tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap KPKKBS.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah diiringi Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan.
Berucap pada majlis itu, Abdul Karim mengucapkan terima kasih kepada Ik Pahon yang telah banyak berjasa dan menabur bakti sepanjang bertugas di kementerian itu.
Beliau menyifatkan Ik Pahon sebagai seorang yang berdedikasi dan komited dengan tugasnya sebagai Setiausaha Tetap KPKKBS.
“Kami di kementerian berasa amat senang dan selesa bekerja dengan Ik Pahon selama ini. Beliau adalah seorang yang sangat baik hati, sangat berkebolehan dan mempunyai pengalaman luas untuk membawa kementerian ini ke arah yang lebih baik.
“Kami harap beliau akan bertugas dengan lebih baik di tempat dan jawatan baharu sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah,” katanya.
Meskipun Ik Pahon akan bertugas di kementerian lain, namun beliau yakin Hii mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai Setiausaha Tetap KPKKBS yang baharu.
Terdahulu, Ik Pahon merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan KPKKBS yang telah memberi kerjasama sepanjang beliau berkhidmat di kementerian itu.
“Kerjasama ini adalah penting untuk memastikan KPKKBS sentiasa dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada kumpulan sasar,” katanya.