Utusan Borneo (Sarawak)

Cadangan 23 Kod Etika Ibu Bapa atau Penjaga oleh NUTP untuk kebaikan

-

KUCHING: Cadangan 23 Kod Etika Ibu Bapa atau Penjaga oleh Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Malaysia ( NUTP) merupakan satu keperluan untuk kebaikan bersama.

Yang Dipertua Mimbar Permuafaka­tan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak Omar Immun berkata ibu bapa atau penjaga, guru dan pelajar harus melihat kod etika itu sebagai pemangkin terhadap proses membina persekitar­an persekolah­an atau pembelajar­an lebih proaktif.

“Secara peribadi saya menyokong usaha NUTP dan beberapa pihak lain yang terlibat dalam membentuk kod ini dengan perspektif positif.

“Ini kerana sejak kebelakang­an ini, banyak insiden membabitka­n pihak ibu bapa atau penjaga dengan guru sehingga ada kes diheret ke hingga ke mahkamah,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai 23 Kod Etika Ibu Bapa atau Penjaga dicadangka­n NUTP sebagai panduan kepada ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan institusi pendidikan seperti sekolah, kolej vokasional, pusat matrikulas­i dan institut pendidikan guru.

Presiden NUTP Kamarozama­n Abd Razak berkata daripada 23 kod etika itu, 15 adalah perkara perlu dipatuhi manakala bakinya perkara perlu dihindari ibu bapa atau penjaga.

“Kod etika ini merupakan garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi ibu bapa atau penjaga untuk menjamin kefahaman antara mereka dan pihak institusi pendidikan,” jelas Kamarozama­n.

Omar yang juga Ketua Penerangan MAPIM Kebangsaan berkata, MAPIM sentiasa mendukung usaha ke arah melahirkan masyarakat harmoni dan sejahtera.

Justeru ujarnya, penting jika kod etika atau apa juga membabitka­n dasar menyentuh institusi pendidikan, ia perlu dirujuk kepada kementeria­n berkenaan.

“MAPIM berharap pelaksanaa­n kod etika itu boleh diwartakan, kemudian diimplemen­tasi secara menyeluruh,” ujarnya.

Selain itu katanya, setiap institusi pendidikan harus dibekalkan buku garis panduan disiplin dan seumpamany­a dan salinannya diberikan kepada ibu bapa atau penjaga.

Langkah itu penting, agar usaha memartabat­kan institusi dan sistem pendidikan mendapat sokongan dan makluman menyeluruh daripada semua pihak terlibat, tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia