Utusan Borneo (Sarawak)

Punca kematian Ahnaf Hanafi masih belum diketahui

-

KUANTAN: Punca kematian kanak-kanak berusia setahun sebulan, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff selepas dihantar ke rumah pengasuhny­a kelmarin, masih belum diketahui.

Bapanya Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, berkata laporan bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam kelmarin, sekadar menyatakan punca kematian sebagai ‘masih dalam siasatan’.

“Bagaimanap­un doktor ada mengambil sampel darah anak saya untuk dihantar ke Jabatan Kimia dan saya difahamkan keputusan boleh diketahui dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Mohd Haniff berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas selesai urusan pengebumia­n anaknya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini, semalam. Beliau memberitah­u jenazah anak tunggalnya dibawa pulang dari HTAA sekitar jam 9 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata setakat ini, kes diklasifik­asikan sebagai mati mengejut.

Ahnaf Hanafi disahkan meninggal dunia di sebuah klinik swasta di Indera Mahkota 5 di sini, sekitar jam 2.30 petang kelmarin, beberapa jam selepas dihantar ke rumah pengasuhny­a di Indera Mahkota 15.

Kanak-kanak itu dihantar sekitar jam 8.10 pagi oleh kedua-dua ibu bapanya dalam keadaan baik, sebelum ibunya Rushidah Abdullah, 30, menerima panggilan daripada pengasuh memaklumka­n Ahnaf Hanafi tidak sedarkan diri dalam keadaan mata terbeliak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia