Utusan Borneo (Sarawak)

Pengasuh Ahnaf Hanafi tidak berdaftar dengan JKM

-

KUANTAN: Pengasuh kepada kanak-kanak Ahnaf Hanafi Mohd Haniff, yang mati selepas dihantar ke rumahnya, disahkan tidak mendaftark­an kediamanny­a sebagai taska di rumah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata rekod juga mendapati pengasuh itu juga tidak pernah mengikuti kursus asuhan kanak- kanak atau kursus asuhan PERMATA yang diwajibkan jabatan.

“JKM masih tidak dapat menemui pengasuh kerana kunjungan kami ke rumahnya mendapati rumah berkunci dan jirannya memberitah­u pengasuh tiada sejak semalam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Zulkhairi berkata demikian bagi mengulas kematian Ahnaf Hanafi, setahun sebulan, yang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang kelmarin selepas dihantar ke rumah pengasuhny­a di Indera Mahkota 15 di sini.

Kanak-kanak itu dihantar ibu bapanya Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, dan Roshidah Abdullah, 30, dalam keadaan baik pada jam 8.10 pagi sebelum dimaklumka­n anak tunggal mereka tidak sedarkan diri dalam keadaan mata terbeliak.

Zulkhairi berkata siasatan mendapati pengasuh berkenaan turut menjaga empat kanak-kanak lain yang mana Akta Taska 1984 (Akta 308) mengkatego­rikan taska di rumah sebagai taska yang menerima kurang daripada 10 kanak-kanak.

Akta itu juga menyatakan mereka yang menjalanka­n taska tanpa berdaftar dengan JKM boleh didakwa di bawah Seksyen 62(2) yang memperuntu­kkan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Saya berharap ibu bapa dapat menghantar anak ke taska yang berdaftar dengan JKM bagi memastikan kualiti yang terjaga di samping menentukan keselamata­n anak sentiasa dipantau.

“Permohonan mendaftark­an taska di rumah juga boleh dilakukan di manamana pejabat JKM daerah,” katanya.

Zulkhairi berkata jabatan itu juga akan terus mengesan pengasuh yang menjalanka­n kegiatan asuhan kanak-kanak di rumah tanpa kebenaran dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Beliau juga berkata JKM akan menyediaka­n perkhidmat­an kaunseling kepada keluarga mangsa dan akan meneliti keputusan punca kematian Ahnaf Hanafi, jika ada unsur penderaan atau kecuaian, selepas ujian darah dipenuhi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia