Utusan Borneo (Sarawak)

Kebakaran: Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai maut

Semasa kejadian arwah hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya

-

Anak saudara arwah yang paling besar beritahu saya ‘Acik’ (mangsa) pengsan dan bila saya pergi tengok arwah dah habis umur (meninggal dunia).

KUALA TERENGGANU: Pengorbana­n bapa membawa ke liang lahad.

Tragedi kebakaran sebuah rumah jenis kembar dua tingkat (semi D) di Kuala Ibai, dekat sini pagi semalam mengorbank­an Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, selepas cuba menyelamat­kan anak lelaki bongsunya, Muhammad Aqil Harith, 3, dalam kebakaran tersebut.

Ibu mangsa, Tengku Maznah Tengku Sulong, 73, berkata beliau yang duduk berdekatan pada mulanya tidak menyedari kejadian tersebut yang dikatakan berlaku pada kira-kira 8.30 pagi.

Katanya beliau hanya menyedari kejadian itu apabila dimaklumka­n oleh seorang cucunya bahawa mangsa pengsan selepas selamatkan Muhammad Aqil.

“Anak saudara arwah yang paling besar beritahu saya ‘Acik’ (mangsa) pengsan dan bila saya pergi tengok arwah dah habis umur (meninggal dunia).

“Anak lelaki arwah yang paling kecil duduk atas dada arwah iaitu semasa arwah lari keluar dia memeluk anaknya sebelum arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui media di kediamanny­a di sini.

Difahamkan ketika kejadian arwah hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya manakala isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 38, yang sedang mengandung empat bulan sudah keluar bekerja dan tiga lagi anaknya sudah ke sekolah.

Menurutnya lagi, arwah akan disemadika­n di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, petang ini (semalam).

Sementara itu, anak saudara arwah Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, berkata beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di kawasan berdekatan, melihat asap tebal tetapi beranggapa­n bahawa ada orang membakar sampah.

“Bila saya masuk dalam rumah tempat saya kerja saya dengar cermin tingkap pecah dan asap keluar.

“Saya terus keluar pergi tengok dan melihat arwah yang dalam keadaan pucat sudah terbaring dengan anak- nya... saya cuba sedarkan arwah berulang kali tetapi gagal. Saya difahamkan arwah disahkan meninggal dunia sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.45 pagi sebelum 18 anggota bersama dua jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba.

“Kami mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelah­an dan dianggarka­n kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan 50 peratus rumah itu, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Menurut Azlimin lagi kebakaran tersebut hanya melibatkan ruangan bawah rumah berkenaan, tetapi kesan bahang panas kebakaran tersebut sampai ke tingkat atas rumah, katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TINJAU: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersamaTen­gku Mastura (tengah) meninjau keadaan rumahnya yang terbakar di Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu semalam.
— Gambar Bernama TINJAU: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bersamaTen­gku Mastura (tengah) meninjau keadaan rumahnya yang terbakar di Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia