Utusan Borneo (Sarawak)

Sanchez masih komited bersama Arsenal: Wenger

-

LONDON, England: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan Alexis Sanchez tetap komited dengan kelab Arsenal walaupun beliau memulakan pemain bintang itu di bangku simpanan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris menentang Chelsea Rabu lepas.

Wenger memilih menurunkan Sanchez hanya pada 25 minit terakhir ketika perlawanan berkesudah­an seri tanpa jaringan di Stamford Bridge.

Ia satu pertaruhan berani buat Wenger dengan Piala Liga mewakili salah satu peluang tipis untuk Arsenal memenangi kejuaraan musim ini.

Beberapa penyokong Arsenal dan pengulas sukan berkata Sanchez tidak lagi dapat memberikan komitmen sepenuhnya kerana kontrak beliau akan tamat pada akhir musim ini dan setakat ini beliau masih enggan menandatan­gani kontrak baharu ekoran spekulasi beliau menyebabka­n perpecahan dalam bilik persalinan.

Walaupun pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City menyuaraka­n hasrat untuk mendapatka­n Sanchez selepas cadangan perpindaha­n pada bulan Ogos gagal dimuktamad­kan, Wenger mendakwa pemain itu masih memberikan fokus sepenuhnya kepada kelab walaupun dengan beberapa aksi hambar.

“Prestasi Alexis Sanchez dan komitmen tidak bergantung kepada tempoh kontraknya, hanya bergantung kepada hakikat beliau berada dalam padang seperti yang beliau mahukan,” kata Wenger.

“Orang tidak mengenali Alexis Sanchez. Beliau seorang yang sangat fokus dalam padang. Adakah anda melihat bagaimana beliau dimasukkan? Bagaimana beliau memanaskan badan? Seperti seorang pemain yang mahu bermain.

“Beliau boleh membezakan apa yang berlaku di luar padang dan dalam padang.

“Beliau tidak perlu memberitah­u saya jika beliau ada bercakap dengan sesiapa (kelab lain). Beliau tidak perlu memberitah­u kelab. Beliau boleh melakukan apa yang beliau mahu.

“Kita hidup dengan fakta, bukan dengan teori psikologi. Apabila anda masuk ke dalam padang untuk bermain dan memberikan sepenuh usaha. Itulah yang beliau lakukan.”

Apa yang menariknya, Wenger kelihatan percaya Sanchez masih dapat dipujuk untuk terus kekal di Stadium Emirates.

“Saya mahu beliau terus kekal lebih lama,” tambah beliau. “Saya tidak mempunyai masalah jika beliau menandatan­gani kontrak bersama kami sekarang atau pada bulan Jun nanti.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia