Abang Johari terajui negeri dengan begitu baik
Banyak sumbangan kepada Sarawak dalam tempoh setahun dalam pelbagai aspek: Awang Tengah
Abang Johari bukan sahaja meneruskan polisi-polisi mesra perniagaan ini malah turut memperkenalkan dasar baharu iaitu ekonomi digital.
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerajui kepimpinan negeri dengan begitu baik sekali dalam tempoh setahun kepimpinannya.
Hari ini, 13 Januari genap setahun Abang Johari sebagai Ketua Menteri keenam menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal pada 11 Januari 2017.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata selaku Ketua Menteri keenam, Abang Johari telah menyumbang banyak kepada Sarawak dalam tempoh setahun ini.
“Jika dilihat dari sudut pelaburan dan sebagainya, para pelabur asing nampaknya tertarik dengan polisi mesra perniagaan dan kestabilan politik kita.
“Abang Johari bukan sahaja meneruskan polisi-polisi mesra perniagaan ini malah turut memperkenalkan dasar baharu iaitu ekonomi digital,” katanya ketika diminta mengulas mengenai genap setahun kepimpinan Abang Johari sebagai Ketua Menteri hari ini.
Terdahulu Awang Tengah yang juga Menteri Perin- dustrian dan Pembangunan Usahawan dan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini yang dipengerusikan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri.
Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif ( PDP) Datuk Seri Tiong King Sing yang ditemui selepas mesyuarat sama turut memuji kepimpinan Abang Johari sebagai Ketua Menteri keenam.
Beliau turut menyifatkan Abang Johari sebagai seorang Ketua Menteri yang bukan sahaja proaktif malah kreatif dalam memimpin negeri ini.
“Abang Johari telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu baik sekali sebagai contoh di Bintulu, rakyat telah menunggu begitu lama pembinaan jambatan Kemena dan juga Sebauh.
“Kedua-dua jambatan ini akan dilaksanakan tahun ini dan atas sebab itu kita harus terus menyokong beliau sebagai pemimpin kita,” kata Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Abang Johari menurut Tiong juga telah membawa banyak perubahan kepada negeri ini dalam tempoh setahun selain meneruskan usaha rundingan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan Timbalan Ketua Menteri