Utusan Borneo (Sarawak)

Buruh dipenjara 15 tahun, empat sebatan rogol anak tiri

-

ALOR SETAR: Seorang buruh kontrak yang tergamak merogol anak tirinya September tahun lalu dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mat Zahir Shariff, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

“Perbuatan kamu adalah jijik, kamu memilih untuk melakukan perkara tersebut kepada anak tiri kamu sedangkan kamu sudah berkahwin dengan ibu mangsa,” katanya sebelum menjatuhka­n hukuman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan persetubuh­an dengan anak tirinya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Belah, Mukim Lada, Pokok Sena, pada 11 malam, penghujung September lalu. Kejadian itu terbongkar selepas mangsa memaklumka­n kepada ibu saudaranya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur memohon agar mahkamah memberi hukuman berat terhadap tertuduh berikutan kesalahan tersebut adalah serius dari sudut perundanga­n dan agama, malah tidak ubah ibarat ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

“Malah mangsa turut trauma dengan kejadian tersebut dan mempunyai masalah berhadapan dengan masyarakat kerana tekanan perasaan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia