Utusan Borneo (Sarawak)

Siasatan pembelian tanah di Tongod selesai, SPRM tunggu tindakan lanjut, kata Azam

-

KAJANG: Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapk­an siasatan berhubung pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod, Sabah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pihaknya telah mengemukak­an kertas siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah serahkan (kertas siasatan) pada minggu lepas untuk keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) bersama komuniti pemandu teksi dan kereta sewa, di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjay­a SPRM Tan Sri Zulkifli Ahmad.

Pada 5 Jan lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony, 46, ditahan SPRM ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung isu pembelian tanah berkenaan.

Peter bagaimanap­un dibebaskan pada 12 Jan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan ikat jamin RM55,000 selepas tempoh tahanan remannya tamat.

Sementara itu, mengenai siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewen­gan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkina­n akan membuat tangkapan terhadap beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini sekurang-kurangnya 20 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, beliau berkata tidak ada keperluan berbuat demikian buat masa ini.

“Kita masih siasat, masih terlalu awal saya nak kongsi dapatan kita dalam siasatan ini, kita akan lakukan secara terperinci,” katanya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubung­kan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerah­kan kepada Consortium Zenith Constructi­on Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia