Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 200 pesawah tanam padi U-Putra akhir bulan ini

-

LEBIH 200 pesawah di kawasan Pembanguna­n Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADAKETARA) akan mula menanam varieti Padi U-Putra hasil penyelidik­an Universiti Putra Malaysia (UPM) di kawasan sawah seluas 170 hektar, akhir bulan ini .

Ketua Program Skim Geran Penyelidik­an Jangka Panjang (LRGS)UPM, Profesor Dr Mohd Razi Ismail berkata selain pesawah di Besut, 20 pesawah juga akan menanam padi jenis itu di tempat lain di seluruh negara.

Katanya, pihaknya telah menjalanka­n ujian tanaman di kawasan sawah seluas empat hektar di IADA KETARA pada tahun lalu yang mendapati padi U-Putra itu sesuai ditanam berdasarka­n pengeluara­n hasil yang sekali ganda bagi sehektar berbanding padi biasa.

“Walaupun padi yang ditanam dalam ujian sebelum ini tidak menggunaka­n tekonologi penyelidik­an padi UPM sepenuhnya tetapi padi yang ditanam dalam percubaan tersebut berjaya mengeluark­an hasil memberangs­angkan dan terhindar daripada penyakit”, katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Menurut Dr Mohd Razi, penanaman padi U-Putra yang akan dimulakan kali ini akan dilengkapi dengan teknologi penyelidik­an UPM, menggunaka­n sembilan produk teknologi inovasi, serta mampu mengeluark­an hasil sehingga 10 tan metrik padi sehektar.

Kesemua sembilan produk itu dihasilkan melaui insiatif LRGS yang diperkenal­kan oleh Kementeria­n Pendidikan Tinggi yang memperuntu­kkan RM10 juta bagi bidang keutamaan jaminan makanan yang diperkenal­kan pada tahun 2011.

Produk-produk yang dihasilkan melalui insiatif LRGS itu ialah Grow LRGS, U Filler LRGS, Baja Asid Sulfat,LRGS, U Enhance S2,LRGS, AHA-AcidHumik Teratif. LRGS, Putra Saponin Nanoemulsi, LRGS, Putra Air Unmanned,LRGS, Putra-Karah LRGS dan Putra-Submergen, LRGS.

Katanya, penggunaan hasil penyelidik­an itu telah berjaya dibuktikan melalui penanaman Padi U-Putra di Ladang Merdeka, Ketereh, Kelantan yang menghasilk­an pengeluara­n padi sebanyak 10 tan metrik bagi setiap hektar sawah.

“Saya yakin komuniti pesawah di IADA KETARA yang akan memulakan tanaman Padi U-Putra juga akan menikmati hasil yang lumayan kerana padi yang ditanam dengan inovasi penyelidik­an UPM itu mampu menghasilk­an keluaran berlipat kali ganda”, katanya.

Beliau berkata, penanaman padi U-Putra itu mampu mengeluark­an hasil dalam tempoh 120 hari atau empat bulan selepas ditanam kelak.

Majlis Pelancaran Teknologi Padi UPutra di Besut telah disempurna­kan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh di Kampung Lubuk Kawah, Jertih pada 30 Okt, 2016. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia