Utusan Borneo (Sarawak)

Petikan sape jadi kekuatan pemuzik jalanan melawan kanser otak

-

KUCHING: Jam menunjukka­n 8.30 malam, kelihatan seorang pemuzik jalanan memetik sape mendendang­kan seleksi lagu di Tebingan Kuching, kawasan tumpuan pelancong di segi tiga emas di bandar raya ini.

Sepanjang persembaha­nnya, Desmond Junek tidak lekang dengan senyuman, pengunjung yang lalulalang singgah sebentar, sama-sama menghayati alunan merdu petikan sape selain mengambil kesempatan merakam gambar, berswafoto serta menghulur sumbangan kepada lelaki itu.

Namun di sebalik senyuman lelaki berusia 37 tahun itu, tidak ramai mengetahui dia adalah pesakit kanser otak tahap satu, kenyataan pahit yang diakuinya agak sukar untuk diterima.

Berkongsi pengalaman kepada BERNAMA, pemuda berketurun­an Bidayuh itu berkata dia disahkan menghidap kanser otak tahap satu sekitar Julai 2017, selepas dirujuk ke hospital apabila mengalami sakit kepala selama empat hari berturut-turut.

Ditanya penerimaan­nya dengan berita mengejutka­n itu, anak bongsu daripada lima beradik (abang pertama dan kakak kedua telah meninggal dunia) itu berkata dia putus asa, hilang semangat, bersendiri­an hampir sebulan malahan pernah terfikir untuk membunuh diri.

“Berita tersebut membuatkan saya kehilangan kata-kata, keyakinan diri dan dunia terasa gelap. Dalam tempoh sebulan saya tidak bermain sape, satu aktiviti yang menjadi punca pendapatan saya sejak 2007,” kata anak kelahiran Kampung Panchor di Serian.

Tidak mahu terus dibelenggu perasaan negatif, Desmond tekad untuk segera bangkit hasil dorongan semangat serta sokongan anggota keluarga dan rakan-rakan, malahan pernah menonton satu program di televisyen mengenai seorang pesakit kanser tahap empat yang masih mampu terus aktif.

“Saya juga terfikir, sape sudah sebati dengan diri saya, tidak boleh nak henti begitu sahaja... perlu diteruskan. Malahan ketika memetik sape saya menghayati alunan muzik tradisi tersebut, seolaholah kesakitan saya juga berkurang,” katanya yang mula mahir bermain sape sejak berusia 26 tahun.

Sape ialah sejenis alat muzik bertali amat sinonim dengan masyarakat Orang Ulu dari Kepulauan Borneo, namun kini sesuai dengan peredaran masa, alat muzik tradisi itu turut sama dimainkan oleh pelbagai kaum.

Desmond berkata dia lebih suka muzik sape asli berbanding moden dan kontempora­ri malahan setiap petikan dilakukan mengikut gerak hatinya sendiri.

Mengimbas kembali saat disahkan menghidap kanser otak, Desmond berkata dia secara tiba-tiba mengalami sakit kepala yang teramat sangat.

“Badan terasa kejang malahan pertuturan terganggu. Saya ingatkan hanya sakit kepala biasa jadi hanya ambil pil penahan sakit dan paracetamo­l namun tidak berkesan mengurangk­an kesakitan.

“Apabila keadaan kesihatan semakin buruk, saya dapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak. Pada mulanya punca kesakitan saya tidak dapat dikesan namun apabila saya maklumkan ahli keluarga iaitu kakak kedua meninggal akibat kanser payudara, pemeriksaa­n lanjut dilakukan sebelum disahkan menghidap kanser otak tahap satu,” katanya.

Biarpun memiliki semangat yang kuat, Desmond masih perlu akur dengan keadaan fizikalnya dan sejak disahkan menghidap kanser otak, aktiviti busking akan dilakukann­ya bergantung kepada keadaan kesihatan.

“Kini dalam seminggu boleh main tiga atau empat kali sahaja, kadangkala dalam seminggu hanya boleh bermain satu atau dua kali sahaja. Tempoh bermain pun tidak boleh lama, sekitar 60 minit, kadangkala hanya 30 minit,” katanya yang menjadikan Tebingan Kuching dan Restoran Lepau di Jalan Ban Hock di sini sebagai lokasi aktiviti busking.

Sejak disahkan menghidap penyakit tersebut, Desmond telah menjalani tiga kali rawatan kemoterapi namun dia bersyukur kerana menerima sokongan kuat daripada anggota keluarga serta rakan-rakan.

Malahan ‘Sape Movement Gathering’ di Miri pada Oktober 2017 bukan sekadar menghimpun­kan kirakira 30 pemain sape, mereka juga mengumpul sumbangan untuk Desmond.

“Bukan sahaja sumbangan dari segi kewangan, pemain sape yang hadir pada perjumpaan tersebut turut menitipkan katakata semangat kepada saya yang ditulis sebelum diletakkan ke dalam sebuah fail,” katanya.

Kepada pesakit kanser di luar sana, Desmond mempunya kata-kata nasihat kepada mereka:

“Jangan terlalu membebanka­n diri memikirkan penyakit itu, sebaliknya ingatilah orang yang kita sayang, kuatkan semangat untuk ‘melawan’ semula sakit tersebut,”

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia