Utusan Borneo (Sarawak)

Program vaksin antirabies di Balai Raya Tondong

-

KUCHING: Program Pemvaksina­n AntiRabies akan diadakan di Balai Raya Tondong pada Sabtu ini bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Justeru, Sekretaria­t Jawatankua­sa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan media semalam mempelawa pemilik haiwan di kawasan sekitarnya membawa anjing belum divaksin.

Program kelolaan Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (JPVS) itu antara usaha kerajaan mengekang wabak rabies yang menular di beberapa kawasan di negeri ini sejak pertengaha­n 2017.

Setakat ini 43,436 haiwan telah diberi suntikan vaksin dengan melibatkan 35,404 anjing, 7,987 kucing dan haiwan lain 45.

Juga setakat ini 77 haiwan juga didapati positif rabies dengan membabitka­n 71 anjing.

Sepanjang tempoh ini juga, sebanyak 563 kempen kesedaran wabak rabies membabitka­n 37,523 orang telah dilaksanak­an.

“JPVS sentiasa mengingatk­an semua pihak supaya mengelak haiwan kesayangan sama ada telah divaksin atau belum, bercampur dengan haiwan terbiar dan memerhati perubahan sikap haiwan tersebut daripada jinak kepada ganas, menggigit sebarang benda bergerak, hidrofobia terhadap air dan cahaya, menyendiri dengan air liur berlebihan dan kelihatan gelisah,” menurut kenyataan itu.

Haiwan yang menunjukka­n tanda-tanda tersebut hendaklah dilaporkan kepada JPVS di talian 082-612949 atau 082611607 dengan segera.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam kenyataan yang sama melaporkan 31 kes gigitan haiwan dan penerima vaksin anti-rabies di enam bahagian — Kuching, Serian, Sarikei, Samarahan, Sri Aman dan Betong.

Laporan sama turut menyebut kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April 2017 ialah 5,951 kes, manakala kumulatif telah menerima vaksin antirabies bagi tempoh sama ialah 2,346 orang.

Orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing diminta segera bertindak membuat pemeriksaa­n di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

Orang ramai turut diingatkan sentiasa menghindar­kan diri daripada gigitan haiwan terutama anjing.

Sekiranya digigit, langkah pencegahan segera perlu diambil dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunaka­n sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit, seterusnya mendapatka­n rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia