Utusan Borneo (Sarawak)

Lapan pusat penempatan pekerja binaan menjelang 2020

-

SHAH ALAM: Kementeria­n Kerja Raya menyasarka­n untuk membangun dan menyediaka­n sekurang- kurangnya lapan pusat penempatan pekerja binaan menjelang tahun 2020.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penyediaan pusat penempatan itu adalah seiring dengan inisiatif strategik Program Transforma­si Industri Pembinaan ( CITP) 2016- 2020 dalam meningkatk­an taraf keadaan penempatan pekerja binaan.

“Dengan penyediaan pusat penempatan ini, kita berharap tiada lagi rumah kongsi yang dibina di tapak pembinaan kerana ia tidak dilakukan mengikut standard yang ditetapkan, tidak kondusif selain memburukka­n nama negara,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Pusat Penempatan Pekerja Binaan (CLQ) dinamakan CLAB CLQ V, yang disediakan oleh Constructi­on Labour Exchange Centre Bhd (CLAB) di Seksyen U4, di sini semalam.

CLAB merupakan satu daripada subsidiari di bawah Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan (CIDB).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata penyediaan penempatan pekerja binaan yang selesa sangat penting memandangk­an terdapat 850,000 personel binaan terdiri daripada tenaga profesiona­l, pekerja mahir dan pekerja binaan yang berdaftar dengan CIDB.

Daripada jumlah itu katanya, kira-kira 400,000 adalah pekerja warga asing.

CLAB CLQM V merupakan pusat sehenti pertama yang dibuka khusus untuk kemudahan penginapan pekerja binaan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor dan boleh menempatka­n 864 pekerja di enam blok bangunan dengan 144 bilik yang mempunyai lokar dan kipas.

Prasarana berpagar ini dibangunka­n lengkap dengan sistem kad akses pekerja, dapur, kemudahan dobi, bilik mandi, kafeteria, kedai runcit, kemudahan sukan dan ibadah.

“Sewa yang dikenakan di pusat penempatan ini adalah RM150 seorang pekerja untuk sebulan dan tambahan RM30 untuk bil elektrik serta air. Pusat penginapan ini dibuka untuk pekerja binaan tempatan dan warga asing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu- alukan syarikat yang mempunyai projek pembinaan di kawasan berdekatan supaya menyewa kemudahan CLQ itu daripada CLAB memandangk­an tempoh pelaksanaa­n sesuatu projek tidak panjang bagi syarikat membina CLQ sendiri, selain mekanisme sewaan itu dilihat lebih praktikal dan ekonomik.

“Dengan beroperasi­nya CLAB CLQ V ini juga, kementeria­n melalui CLAB telah mengenal pasti dan akan membangunk­an dua lagi pusat penempatan pekerja binaan di Pulau Pinang dan Putrajaya pada tahun ini,” tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia