Utusan Borneo (Sarawak)

Pelayan karaoke didakwa miliki bom tangan

-

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan karaoke mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan memiliki sebutir bom tangan, Sabtu lepas.

Tam Boon Wei , 40, didakwa memiliki bahan letupan iaitu sebutir bom tangan yang telah ditanam dengan niat menggunaka­nnya untuk membahayak­an nyawa atau menyebabka­n kerosakan teruk kepada harta di kawasan tanah tepi longkang Blok B, De Tropicana Kondominiu­m, Jalan Kuchai Maju 13, Brickfield­s di sini pada 11 pagi, 13 Januari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(b) Akta Bahan Letupan 1957 itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau keduaduany­a, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, bagaimanap­un Tam yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon jaminan rendah atas alasan dia penanggung tunggal keluarga serta isterinya sedang sarat mengandung anak ketiga.

Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarka­n tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Febuari untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, seorang peniaga S.Chandra, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan curang menyalahgu­nakan wang sebanyak RM325,000 yang dikeluarka­n oleh seorang individu menggunaka­n cek tunai bank daripada akaun semasa Hong Leong Bank milik bersama beberapa individu lain.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank Cawangan Bandar Baru Sri Petaling,Jalan Radin Tengah,Bandar Baru Sri Petaling, Brickfield­s di sini pada 2.24 petang, 12 Mei 2015 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam R.Vigneswara­n memohon jaminan rendah atas alasan dia menanggung keluarga. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia