Utusan Borneo (Sarawak)

Chong Wei sanggup bayar denda kepada BWF

-

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei sanggup membayar denda kepada Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) untuk tidak menyertai beberapa kejohanan yang ditetapkan kerana mengambil faktor usia dan ketahanan fizikalnya.

Pemain nombor dua dunia itu berkata tumpuannya adalah kepada kejohanan yang mempunyai standard lebih tinggi termasuk persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia serta All England pada tahun ini.

Berdasarka­n peraturan baharu BWF, semua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun iaitu tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan tahap empat.

“Saya akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika perlu bayar denda, saya sanggup bayar. Usia saya bukan 25 tetapi 35 tahun ini. Sepatutnya ketika ini saya dan beberapa pemain lain berehat dan membuat persiapan All England pada Mac ini. BWF telah keluarkan peraturan sebegini, kami pemain perlu akur,” katanya selepas perlawanan kelmarin.

Ekoran peraturan baharu itu, kebanyakan pemain terkemuka dunia tersing- kir awal daripada saingan Perodua Masters Malaysia yang sedang berlangsun­g minggu ini di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Chong Wei yang turut tewas pada perlawanan pembukaan itu berkata rata-rata pemain tidak dapat memberikan permainan yang baik kerana masing-masing mempunyai jadual kejohanan yang padat.

Dua jaguh badminton dunia, Chen Long dan Lin Dan serta Son Wan Ho dari Korea Selatan antara pemain terkemuka dunia yang turut terkeluar daripada saingan pusingan pertama.

Bekas juara dunia lima kali, Lin Dan turut meny- uarakan perkara yang sama berkata semua pemain terkemuka dunia akan memberi tumpuan kepada kejohanan yang lebih tinggi dan secara realistikn­ya tiada pemain dapat mengekalka­n prestasi cemerlang dalam semua kejohanan.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark berkata peraturan baharu itu akan mengganggu kecergasan pemain kerana terlalu banyak kejohanan yang perlu disertai pada awal tahun.

Justeru, beliau berkata penting untuk pemain ranking tinggi menjaga keadaan fizikal dan mentalnya untuk menjadi lebih bersaing dalam kejohanan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia