Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad Kim Swee berpeluang disenaraik­an dalam kategori A Sukan Asia Jakarta dan Palembang 2018

-

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Bawah-23 (B-23) negara berpeluang untuk disenaraik­an dalam kategori A ke Sukan Asia Jakarta dan Palembang 2018, dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata sekiranya skuad berkenaan mahu merebut slot kategori A, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberi justifikas­i kukuh berdasarka­n prestasi semasa dan ranking pasukan itu di peringkat Asia.

“Pada masa ini, kita belum mengambil keputusan mengenai sukan mana berada dalam kategori A dan B. Pada mesyuarat pemilihan kedua selepas ini, baru kita akan menetapkan kategori untuk setiap sukan, tetapi semua sukan mempunyai kemungkina­n untuk disenaraik­an dalam kategori A berdasarka­n justifikas­i mereka.

“Pada mesyuarat pemilihan pertama minggu lalu, kami hanya memberi peluang kepada persatuan sukan kebangsaan membuat persiapan dan memberi kriteria-kriteria mengapa kita perlu memberi mereka pertimbang­an berada dalam kategori A,” katanya selepas mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan Asia 2018 yang pertama di Wisma OCM, di sini, semalam.

Sekiranya sesuatu sukan diletakkan dalam kategori A, semua kos untuk menyertai temasya sukan itu akan ditanggung MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN), manakala bagi kategori B, persatuan sukan perlu menanggung kos tersebut terlebih dahulu dan boleh dituntut balik jika mereka berjaya meraih pingat.

Sebuah blog sukan sebelum ini melaporkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu layak diberi pertimbang­an diletakkan dalam kategori A, selepas berjaya melangkah ke suku akhir Kejuaraan Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di China, selain kejayaan meraih pingat perak Sukan SEA 2017, Ogos lalu.

Mengenai jadual perlawanan, Beng Choo berkata pihak penganjur, Jawatankua­sa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) hanya dapat mengeluark­an jadual dan venue selepas mendapat kepastian bilangan pasukan yang akan mengambil bahagian dalam acara bola sepak pada temasya sukan itu.

Beng Choo menegaskan pemilihan atlet untuk temasya itu yang melibatkan 462 acara daripada 40 jenis sukan, hanya akan dibuat pada Mac.

Dalam pada itu, beliau berkata MOM sedia berbincang dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai pemilihan atlet Sukan Komanwel Australia pada April ini, mengenai kuota yang diberikan kepada atlet olahraga negara.

“Mereka bebas berbincang dan buat rayuan kepada kami mengenai pemilihan ke Sukan Komanwel. Kalau nak tambah atlet, memang susah kerana penganjur hanya memberi kuota 98 atlet bagi sukan individu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia