Utusan Borneo (Sarawak)

Bank komersial patuh terhadap garis panduan pembiayaan untuk produk, perkhidmat­an: ABM

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-bank di Malaysia ( ABM) semalam berkata pinjaman yang diluluskan oleh bank-bank anggotanya dinilai dengan ketat, selaras dengan garis panduan dan tatacara kelulusan peringkat dalaman masing-masing.

Mengulas artikel yang diterbitka­n oleh sebuah portal dalam talian bertajuk, ‘Akses mudah ke pinjaman menyumbang kepada muflis, kata kumpulan pengguna’ baru-baru ini, ABM berkata antara faktor yang diambil kira oleh anggotanya termasuk menilai permohonan pinjaman berdasarka­n kelayakan pemohon dan keupayaan pembayaran balik.

ABM mempunyai 27 ahli yang terdiri daripada bank komersial yang kini beroperasi di Malaysia.

“Bank ahli kami komited mematuhi garis panduan pembiayaan yang bertanggun­gjawab dan terus menyokong dalam menyediaka­n pembiayaan kepada pemohon yang layak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Proses pengesahan yang ketat, termasuk menyemak status kewangan pemohon dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan pelbagai agensi laporan kredit, dilakukan sebelum meluluskan permohonan pinjaman, kata ABM.

“Bank mematuhi amalan pembiayaan yang bertanggun­gjawab dalam menyediaka­n pinjaman. Ini adalah untuk mengelakka­n pendedahan kedua- dua bank dan peminjam terhadap peningkata­n risiko kredit.

“Bank ahli kami juga memberi tumpuan serius kepada penipuan, dan jika pemalsuan dikesan, bank akan mengambil langkah segera untuk menangani isu ini dan menolak permohonan,” kata ABM.

Persatuan itu juga mengingatk­an orang ramai supaya mengamalka­n perbelanja­an berhemat dalam usaha untuk mengelakka­n terjebak dalam masalah kewangan.

“Nasihat ini juga terpakai dalam penggunaan kemudahan seperti kad debit dan kad pembayaran lain,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia