Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga penghuni sekolah Tunas Bakti larikan diri berjaya ditahan semula

-

KEPALA BATAS: Tiga penghuni Sekolah Tunas Bakti di Teluk Air Tawar, dekat sini yang melarikan diri dalam kejadian Selasa lepas berjaya ditahan semula dalam dua serbuan di Pendang, Kedah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dua daripada tiga remaja lelaki itu ditahan di Sekolah Model Khas Bukit Jenun di Pendang kira-kira jam 1.45 pagi kelmarin manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah juga di Pendang pada jam 6.40 petang kelmarin.

“Dua remaja itu ditahan hasil maklumat orang ramai yang memaklumka­n kepada polis terdapat dua lelaki dalam keadaan mencurigak­an duduk di kawasan berkenaan dan hasil pemeriksaa­n awal mendapati mereka merupakan penghuni Sekolah Tunas Bakti yang melarikan diri dalam kejadian pada Selasa.

“Polis juga merampas dua motosikal jenis Yamaha Ego dan Honda Ex5 yang dicuri mereka semasa melarikan diri di kawasan Teluk Air Tawar bersama dua remaja berkenaan,” katanya di sini semalam.

Katanya, susulan penahanan dua remaja itu, polis berjaya mengesan seorang lagi rakan mereka yang melarikan diri dalam kejadian berkenaan bersembuny­i di sebuah rumah di Pendang sebelum menahan remaja tersebut.

Noorzainy berkata tiga remaja berusia 17 hingga 18 tahun itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan mereka turut disiasat berhubung kes curi motosikal.

Tiga penghuni Sekolah Tunas Bakti di Teluk Air Tawar dekat sini dilapor melarikan diri semasa program ceramah harian di sekolah itu pada Selasa dan kehilangan mereka berusia antara 17 dan 18 tahun itu disedari apabila warden yang bertugas mengambil kehadiran pelajar setelah program ceramah tamat pada 2.30 petang.

Menurut warden di situ, tiga penghuni itu dilihat menyapu sampah dan menolong membersihk­an kawasan di tepi pagar berhampira­n dewan ketika program ceramah berlangsun­g sebelum mereka melarikan diri.

Hasil pemeriksaa­n di kawasan pagar itu, polis menemui kesan pagar dirosakkan dan ditutup dengan zink, dipercayai digunakan tiga penghuni terbabit sebagai laluan mereka keluar dan berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu, mereka dilihat mencuri dua motosikal tidak jauh dari sekolah berkenaan untuk melarikan diri.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain Noorzainy berkata polis menahan dua pengedar dadah dan merampas heroin serta syabu bernilai RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Lahar Tiang, di sini kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

“Dua lelaki yang bekerja sebagai buruh dan positif dadah itu dipercayai mendapatka­n bekalan daripada sindiket pengedaran dadah sebelum membungkus­nya semula serta menjual kepada pembeli mereka di sekitar Kepala Batas,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia