Utusan Borneo (Sarawak)

MCPF cadang Program Pementoran Komuniti untuk perangi jenayah

-

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya program pementoran diterajui komuniti diperkenal­kan di negara ini bagi membimbing dan mempengaru­hi golongan muda agar mereka menjauhkan diri daripada jenayah, kata Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Naib pengerusi kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye ketika menyuaraka­n cadangan itu berkata, walaupun kedaulatan undang-undang penting dalam memastikan rakyat sentiasa mematuhi peraturan, tetapi, dalam jangka panjang, komitmen komuniti secara proaktif dalam mencegah jenayah mempunyai kesan positif yng lebih jauh dan meluas terhadap segenap lapisan masyarakat.

Sambil mengambil pergerakan Big Brothers and Sisters (BBS) di Jepun sebagai contoh, Lee berkata program itu berkesan dalam memberi bimbingan kepada golongan muda dan membantu membina jati diri mereka agar tidak terdorong untuk melakukan jenayah.

“Program itu sama sep- erti program mentor-mentee yang diperkenal­kan dalam industri. Dalam program ini (pementoran komuniti), individu dewasa ( mentor) terpilih akan ditugaskan mengawasi, membimbing dan menjadi suri teladan bagi remaja agar mereka dapat membina kehidupan positif, yang bebas daripada aktiviti jenayah serta tidak sihat,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Lee berkata beliau merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Jepun di Malaysia Makio Miyagami bagi membincang­kan dan mendapatka­n lebih banyak maklumat tentang program BBS serta cara untuk memperkena­lkannya di negara ini.

“Jepun terkenal sebagai negara dengan kadar jenayah paling rendah di rantau ini. Saya percaya terdapat perkara positif yang boleh kita pelajari daripada mereka sebagai usaha jangka panjang untuk menjadikan persekitar­an jalanan dan masyarakat kita lebih selamat,” katanya.

Pergerakan BBS, yang diperkenal­kan di Amerika Syarikat pada 1904, dilaksanak­an dengan berkesan di Jepun sejak 1947. Program itu menggunaka­n khidmat sukarelawa­n matang sebagai pembimbing dan untuk mempengaru­hi golongan muda, terutama mereka yang berisiko menjadi delinkuen juvenil, supaya tidak terlibat dengan jenayah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia