Utusan Borneo (Sarawak)

PAS tidak ikut jejak Pakatan Harapan umum calon PM

-

SHAH ALAM: PAS tidak akan mengikut jejak Pakatan Harapan yang menamakan calon Perdana Menteri lebih awal.

Naib Presidenny­a, Idris Ahmad berkata parti itu mengambil pendekatan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terlebih dahulu sebelum mengumumka­n calon perdana menteri pilihannya.

Beliau turut menempelak Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang seakan-akan cuba memaksa PAS menamakan calon perdana menteri lebih awal seperti yang dilakukan pakatan pembangkan­g itu.

“PAS sudah kira-kira 67 tahun menjadi parti pembangkan­g, bukan seperti dia ( Dr Mahathir) yang baharu sehari dua keluar UMNO kerana tidak mendapat apa yang dia nak. Dia jadi pembangkan­g bukan atas prinsip atau perjuangan tetapi atas sebab kepentinga­n peribadi.

“Sekarang beliau cuba paksa PAS untuk umum calon perdana menteri, menang dahulu baharu kami umum calon. Ini belum apa-apa dah gaduh, umpama ikan belum beli tetapi sudah bergaduh hendak masak gulai atau tempoyak,” katanya ketika berucap melancarka­n Himpunan Fastaqim 2.4 parti itu di sini, semalam.

Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjay­a PAS Selangor Sallehen Mukhyi, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kira-kira 1,000 anggota parti itu.

Selasa lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia mencabar PAS menamakan calon perdana menteri mereka sebelum PRU14.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan membuat cabaran tersebut ketika menjawab ura-ura PAS dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentuk satu ‘pakatan sulit’ di Kelantan untuk memudahkan kemenangan PAS pada pilihan raya nanti.

Sebelum ini, Pakatan Harapan mengumumka­n Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalanny­a. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia