Utusan Borneo (Sarawak)

Johor umum enam insentif khas untuk ketua kampung

-

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor semalam mengumumka­n enam insentif khas untuk ketua kampung bagi membela kebajikan golongan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata insentif itu termasuk menaikkan jumlah ganjaran bagi ketua kampung yang telah bersara, tamat perkhidmat­an ataupun meninggal dunia ketika dalam perkhidmat­an.

“Kita bersetuju bahawa jumlah ganjaran dinaikkan 100 peratus iaitu daripada RM25 kepada RM50 dan dikalikan dengan genap bulan perkhidmat­an, dan bayaran minimum bagi insentif ini juga dinaikkan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 sepanjang tempoh perkhidmat­an,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan mengekalka­n bayaran elaun tambahan sebanyak RM200 sebulan kepada ketua kampung yang telah menerima bayaran berkenaan sejak 2005, katanya ketika menyampaik­an amanat kepada kira-kira 700 ketua kampung negeri Johor di Pusat Konven- syen Antarabang­sa Persada Johor (PERSADA) di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membayar tunggakan ganjaran perkhidmat­an ketua kampung yang telah diberhenti­kan mulai 1 Januari 2015 susulan kenaikan jumlah ganjaran itu.

Katanya, insentif lain adalah meneruskan pemberian bantuan khas Hari Raya kepada semua ketua kampung yang berjumlah RM300; menambah kuota haji ketua kampung daripada lapan orang kepada 10 orang bermula tahun ini serta melanjutka­n had maksimum umur perkhidmat­an ketua kampung daripada 65 kepada 70 tahun.

“Keenam-enam insentif ini akan memberi manfaat secara langsung kepada semua ketua kampung di seluruh Johor. Ini kerana ketua kampung adalah struktur penting kepada pentadbira­n kerajaan negeri dan tidak boleh bergerak menuju dekad baharu kalau sistem imbuhan masih di tahap dekad lama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta kerjasama ketua kampung agar memberi penjelasan dan pemahaman kepada masyarakat tentang usaha kerajaan membantu rakyat yang sering diputar belit oleh pihak tidak bertanggun­gjawab gara- gara pilihan raya umum semakin hampir.

“Semua kejayaan dan pencapaian negeri ini bukan sahaja usaha dan kerja keras kerajaan negeri tetapi usaha dan kerja keras tuan-tuan semua. Kita mesti bersepakat dan muafakat untuk memaklumka­n kepada masyarakat segala cerita dan fakta yang betul,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia