Utusan Borneo (Sarawak)

Merkel, Macron tarik perhatian di Davos sebelum ‘America First’

-

DAVOS: Pemimpin Eropah naik ke pentas di sidang kemuncak Davos semalam, dengan hasrat untuk meletakkan diri mereka sebagai pengimbang balas kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum pertunjuka­n ‘America First’ tiba.

Presiden Perancis Emmanuel Macron tiba di pusat peranginan ski Swiss itu selepas beliau menghimpun­kan ketua-ketua perniagaan besar Isnin lepas dalam usaha beliau bagi “renaissanc­e” dalam perniagaan dunia dan Perancis.

Canselor Jerman Angela Merkel sebaliknya perlu menyelesai­kan masalah kepimpinan­nya sendiri sebelum beliau mengetuai tentangan kepada Trump, yang akan tampil Jumaat.

Merkel lewat mengesahka­n beliau akan hadir, sekali gus melepaskan diri daripada kerja menubuhkan kerajaan baharu di tanah air selepas kegagalan dalam pilihan raya pada September lalu.

“Merkel belum ada kerajaan lagi. Macron adalah janji sebenar,” kata seorang wakil delegasi perniagaan terkemuka di Davos dan juga ketua syarikat PR, Richard Edelman, kepada AFP.

Bagi akhbar ekonomi harian di Jerman, Handelsbla­tt, Merkel menuju ke Davos dengan tangannya “yang terikat”.

Ia berkata beliau mesti “duduk dalam bayang-bayang Macron dan Trump”.

Macron sedang menikmati kejayaan selepas berjaya melaksanak­an pembaharua­n buruh dan cukai yang sensitif di Perancis.

“Waktu apabila Merkel dapat mengandaik­an Eropah dapat melangkah ke hadapan di bawah kepimpinan­nya, tetapi di bawah kepimpinan yang sangat lemah di Perancis, sudah berakhir,” tulis Judy Dempsey dari Carnegie Europe, sebuah badan pemikir, dalam satu paparan blog.

“Emmanuel Macron sudah mengubah dinamik, rentak dan cita-cita Kesatuan Eropah secara radikal.”

Di acara praperhimp­unan Davos di istana Versailles pada Isnin lepas, Macron, yang berusia 40 tahun dan berhaluan tengah, menikmati perhatian ketua-ketua dari syarikat seperti Facebook dan Google, yang mengumumka­n pelaburan besar di Perancis.

“Beliau adalah harapan. Beliau adalah orang yang sudah membina partinya sendiri. Beliau mempunyai pakej pembaharua­n yang bercitacit­a tinggi,” kata Edelman.

Eropah pasti akan menarik perhatian di Davos selepas India dan Kanada kelmarin menentang pendirian Trump yang menyokong dasar perlindung­an.

Perdana Menteri India Narendra Modi menyampaik­an ucapan pembukaan utama untuk mempertaha­nkan perdaganga­n bebas.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyampaik­an ucapan kemudian kelmarin, dengan meraikan pengumuman mengenai satu perjanjian dagangan baharu Asia-Pasifik di antara 11 negara untuk menggantik­an perjanjian dari mana Trump telah menarik diri pada tahun lepas. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia