Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi cari mangsa tongkang karam dihentikan sementara

-

KAPIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian tongkang karam di Nanga Buan, Sungai Batang Rajang dekat sini yang masuk hari ketujuh dihentikan sementara, petang semalam.

Menurut info daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak, ia dihentikan sekitar jam 3.30 petang setelah perbincang­an dengan pasukan penyelamat yang membuat operasi SAR dan hasil perbincang­an antara pihak bomba, polis, Lembaga Sungai Sarawak dan pemilik kapal bersetuju untuk menghentik­an operasi SAR buat sementara waktu sehingga kapal tersebut diapungkan pemilik kapal.

Maklumat pihak polis turut mengatakan dua mangsa terbabit yang masih belum ditemui dipercayai masih terperangk­ap dalam tongkang yang tenggelam itu.

Dua mangsa yang masih belum ditemui itu ialah Abhishek Kiran Jamdade, 20, dan Kaishna Radheshaya­m Badai, 28, merupakan warga India.

Dalam kejadian seminggu lalu, tongkang membawa muatan batu itu karam.

Dilaporkan tujuh anak kapal dalam tongkang terbabit, lima daripadany­a berjaya menyelamat­kan diri manakala dua masih hilang.

SAR bermula jam 8.30 pagi semalam melibatkan lima anggota bomba dari Balai Bomba Kapit yang diketuai PBK II Abu Osman dan dihentikan petang semalam.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon 4 Sibu PGKB 1 Misran Bisara ketika dihubungi petang semalam berkata, anggota SAR mengalami kesukaran menyelam disebabkan arus sungai deras.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia