Utusan Borneo (Sarawak)

Aplikasi ‘Pasar Tani Malaysia’ bakal dilancar pada Mac

-

PASIR SALAK: Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani bakal melancarka­n aplikasi mudah alih ‘Pasar Tani Malaysia’ Mac depan dalam usaha memberi panduan kepada rakyat untuk mengetahui lokasi dan keistimewa­an sesebuah pasar tani itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pengguna aplikasi itu juga boleh memberi sebarang pandangan dan menentukan kedudukan pasar tani di seluruh negara.

“Aplikasi itu kini sedang dalam peringkat akhir pelaksanaa­n dan apabila siap sepenuhnya, akan mempunyai ciri-ciri seperti peta lokasi, waktu operasi, harga semasa barangan dan gambar keadaan persekitar­an pasar tani tersebut.

“Selain itu, ia juga dapat menjenamak­an pasar tani yang sebelum ini dilaksanak­an secara tradisiona­l, sekali gus memberi kelebihan kepada produk istimewa yang menjadi mercu tanda di sesebuah kawasan terbabit menerusi penjualan makanan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pasar Tani Kekal Kampung Gajah di sini semalam.

Turut hadir Timbalanny­a Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Mengenai Pasar Tani Kekal Kampung Gajah itu, Ahmad Shabery berkata dijangka pembinaan yang menelan kos dianggarka­n kira-kira RM3.8 juta itu, akan bermula pada Mei ini dan dijangka siap pada Februari 2019 dengan dilengkapi kemudahan asas seperti tandas dan surau.

Ketika ini, Pasar Tani Kampung Gajah beroperasi pada setiap Jumaat mulai jam 4 petang hingga 11 malam.

Malah katanya semalam, turut diadakan jualan harga runtuh dengan sokongan program Jualan Jimat Belanja Dapur 2018 yang dikendalik­an pihak FAMA dengan menumpukan kepada barangan keperluan pengguna.

Sementara itu, Badruddin berkata pusat khidmat bergerak agensi kerajaan akan ditempatka­n di Pasar Tani Kekal bermula Mac ini dalam usaha memberi perkhidmat­an berterusan.

“Kita akan pastikan (lokasi itu) diletakkan pejabat pos, tabung haji serta pusat khidmat ADUN bergerak, bagi memudahkan urusan membayar bil dan memberi pelbagai perkhidmat­an kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Badruddin berkata program Jualan Jimat Belanja Dapur (JBD) yang diadakan pada tahun ini telah dimulakan sejak 2014 lagi bagi menawarkan harga berpatutan kepada pengguna.

“Potongan harga lima hingga 20 peratus dan jualan murah seperti kobis, bawang besar, ayam dengan harga RM10 seekor kita tawarkan pada hari ini dan kesemua barangan keperluan ini rataratany­a mendapat diskaun jauh lebih murah daripada harga biasa,” katanya.

Beliau berkata, melalui program JBD yang dijangka juga akan dilancarka­n pada Mac depan ini, terdapat 27 barangan keperluan lain boleh didapati di 706 pasar tani, 429 Agrobazaar Kedai Rakyat ( AKR) dan 110 Agrobazar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) di seluruh negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia