Azizah alu-alukan penyelidik lakukan kajian terperinci tentang rumbia
KUALA PENYU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun mengalu-alukan kedatangan para penyelidik dari dalam mahupun luar negara untuk melakukan kajian tentang rumbia.
Beliau berkata, kajian terperinci boleh dilaksanakan oleh para penyelidik memandangkan kerajaan telah menyediakan satu pusat khas yang terletak di daerah Kuala Penyu.
“Saya mengalu-alukan para penyelidik yang berminat melakukan kajian tentang rumbia untuk datang ke Pusat Informasi Rumbia yang terletak di Kuala Penyu.
“Pusat ini bukan sahaja diwujudkan untuk para pelancong tetapi pada masa sama boleh dijadikan sebagai pusat penyelidikan mengenai rumbia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Randevu di Pusat Informasi Rumbia, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort memberitahu, tujuan beliau mengajak penyelidik bagi melakukan kajian tentang rumbia adalah bagi mengenal pasti potensi lain rumbia.
Katanya, rumbia yang dikenali rakyat di Sabah mempunyai pelbagai kegunaan seperti untuk atap rumah selain kraf tangan serta makanan tradisi masyarakat di negeri ini yang lebih dikenali sebagai ‘sagu’ atau ‘pinantung’.
Beliau turut mengajak orang ramai khususnya rakyat di negara ini untuk datang berkunjung ke Pusat Informasi Rumbia bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang rumbia yang amat sinonim dengan masyarakat di Sabah.
“Orang kita juga dijemput datang ke Pusat Informasi Rumbia ini. Saya yakin banyak ilmu serta informasi yang dapat diperolehi melalui pusat yang disediakan kerajaan ini,” katanya.
Pada majlis itu, Azizah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.