Tangani secara global isu berkaitan badak sumbu Sumatera: Masidi
KOTA KINABALU: Langkah menyelamatkan badak sumbu Sumatera di Malaysia daripada pupus harus ditangani secara global dan bukan hanya tanggungjawab negara ini sahaja.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sekiranya badak sumbu Sumatera itu pupus, ia bukan hanya satu kerugian kepada Malaysia sebaliknya, ia juga satu kerugian kepada masyarakat dunia.
“Atas sebab itulah, langkah menyelamatkan badak sumbu Sumatera di Sabah ini harus dilihat sebagai satu usaha global. Kita perlu saling bekerjasama dengan satu sama lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persetujuan kerajaan Indonesia untuk menghantar sperma badak sumbu mereka ke Malaysia bagi tujuan persenyawaan.
Belia berkata, walaupun kerajaan Indonesia sudah menyatakan persetujuan mereka namun, belum ada maklumat lanjut tentang perkara itu.
“Ia baharu satu pengumuman dan kita belum tahu lagi bila ia akan dilaksanakan. Menyatakan niat dan melaksanakannya adalah dua perkara yang berbeza.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan Indonesia atas persetujuan itu. Namun, kita akan meminta pegawai kita mendapatkan makumat lanjut berkenaan kerjasama ini,” katanya.
Menurutnya, tawaran berkenaan adalah sesuatu yang baik namun dalam masa yang sama, Malaysia perlu mengambil kira keadaan kesihatan satu-satunya badak sumbu Sumatera betina iaitu Iman, yang kini mengalami masalah kesihatan.
“Kita perlu mengambil kira keadaan Iman, adakah haiwan ini cukup sihat untuk menjalani persenyawaan,” jelasnya.
Pada Disember 2017, Iman bertarung nyawa untuk melawan kanser rahim (uterus) yang dihidapinya. Keadaan kesihatan satu-satunya badak sumbu yang masih ada di Malaysia itu kini semakin baik.
Pada Januari, kerajaan Indonesia menyatakan persetujuan untuk menghantar sampel sperma badak sumbu Sumatera mereka ke Malaysia.
Pegawai Kanan Kemente- rian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Wiranto dipetik berkata sperma haiwan yang kini ditempatkan di Sumatran Rhino Sactuary ( SRS) Indonesia itu akan dihantar ke Malaysia pada tahun ini.
Persetujuan menghantar sperma haiwan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Pakar Teknikal antara Indonesia dan Malaysia di Jakarta pada Oktober tahun lalu.
Berdasarkan perancangan, jika kelulusan diperoleh mereka merancang menggabungkan sperma daripada Andalas, badak sumbu Sumatera yang berada di SRS Indonesia dengan telur daripada Iman. Ia bagi membolehkan embrio terbentuk untuk ditanam pada badak sumbu betina di SRS.