Utusan Borneo (Sarawak)

SEDIA HADAPI BENCANA

Kerajaan negeri mempunyai kemudahan, pengurusan lengkap hadapi banjir

- Oleh Marlinda Mardzuki

SANTUBONG: Kerajaan negeri mempunyai kemudahan dan pengurusan yang lengkap dalam menghadapi bencana banjir yang berlaku di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, kerajaan menerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak sentiasa bersedia dalam menghadapi bencana yang mendatang.

“Saban tahun, kita (JPBN) sentiasa meningkatk­an tindakan dalam membantu mangsa bencana banjir di negeri ini malah kini lebih cekap dalam menghadapi situasi tersebut.

“Ini semua hasil kerjasama kukuh antara semua agensi yang terlibat dalam jawatankua­sa ini bagi membantu meringanka­n beban mangsa yang ditimpa musibah ini. Kita harap kerjasama ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Darul Mustaqin Kampung Buntal yang menempatka­n 130 mangsa banjir daripada 21 keluarga dari Kampung Buntal Lot di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan.

Uggah yang juga pengerusi JPBN Sarawak berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa yang ditempatka­n di PPS menerima segala kemudahan sebaik mungkin.

Berdasarka­n lawatan ke PPS semalam, beliau amat berpuas hati melihat kemudahan yang disediakan di pusat pemindahan tersebut.

“Kita akan pastikan bantuan makanan, minuman diberi sebaik mungkin kepada mangsa.

“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga menempatka­n doktor untuk memeriksa serta memastikan kesihatan mangsa terjaga,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah memberitah­u, mengikut laporan JPBN Sarawak, seramai 554 mangsa daripada 158 keluarga ditempatka­n di lapan PPS membabitka­n bahagian Kuching, Samarahan dan Serian setakat jam 12.30 tengah hari semalam.

 ??  ?? TURUN PADANG: Uggah melawat mangsa banjir di Masjid Darul Mustaqin Kampung Buntal, semalam. Turut kelihatan Dr Abdul Rahman.
TURUN PADANG: Uggah melawat mangsa banjir di Masjid Darul Mustaqin Kampung Buntal, semalam. Turut kelihatan Dr Abdul Rahman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia