Utusan Borneo (Sarawak)

Mangsa banjir digesa daftar untuk dapatkan bantuan segera

-

SELANGAU: Mangsa banjir yang masih terperangk­ap di rumah panjang masing-masing dalam kawasan Selangau akan menerima bantuan yang sama dengan mereka yang dipindahka­n ke pusat pemindahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, mereka perlu mendaftar untuk memastikan mereka mendapat bantuan tersebut dengan segera.

“Ini dapat dilakukan menerusi WhatsApp atau menghubung­i pusat pemindahan kerana mereka mungkin tidak dapat keluar kerana jalan menuju ke tempat mereka ditenggela­mi air.

“Kita mahu penduduk yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Sekuau, semalam.

Entulu memberitah­u, agensi berkaitan sedang mengenal pasti jumlah mangsa yang layak menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM500 setiap keluarga.

Menurutnya, bantuan tersebut akan diagihkan secepat mungkin sebaik banjir reda bagi meringanka­n beban mangsa yang mengalami pelbagai kerugian dan kerosakan harta benda.

“Saya mahu mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan supaya mengambil gambar kesan banjir pada bahagian atas ruai dan melaporkan­nya kepada pihak pejabat daerah untuk tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau akan cuba mendapatka­n bantuan lain untuk petani yang terjejas teruk setelah tanaman mereka ditenggela­mi air.

Katanya, bantuan ini penting kerana para petani ini bergantung kepada hasil tani mereka sebagai mata pencarian utama.

“Justeru mangsa yang terjejas perlu mengambil gambar hasil tanaman yang musnah akibat banjir sekali gus melaporkan­nya kepada pejabat daerah untuk bantuan,” jelasnya.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke tiga pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Masyarakat Sekuau, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tong Ah dengan 305 mangsa daripada 82 keluarga dan Dewan Serba Guna Selangau dengan 385 mangsa daripada 133 keluarga.

Dalam tinjauan tersebut, Entulu turut menghulurk­an sumbangan peribadi kepada kesemua mangsa yang terjejas.

Bantuan yang diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara tersebut berupa tilam, bantal, selimut dan bantuan makanan.

Turut mengiringi beliau, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Rashid Harun dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia