Utusan Borneo (Sarawak)

BN Negeri perlu rekod keputusan cemerlang pada PRU14

Prestasi cemerlang permudah Sarawak untuk mendapat peruntukan dan rundingan termasuk dalam minyak dan gas: KM

- Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri perlu merekodkan keputusan cemerlang ‘ A+’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang bagi membolehka­n Sarawak terus mendapat rundingan dengan kerajaan persekutua­n.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, prestasi cemerlang akan memudahkan Sarawak untuk mendapat peruntukan dan rundingan termasuk dalam hal minyak dan gas.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) merupakan pemimpin yang telah banyak memberi peruntukan kepada Sarawak dan beliau amat senang untuk berunding.

“Maka, jika PRU ini kita mendapat A+ saya percaya beliau (Najib) bukan sahaja memberi (peruntukan) tetapi bertanya apa lagi kita mahu... kita tak minta banyak, hal minyak sudah cukup,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perhimpuna­n Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang disempurna­kan Najib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, se- malam.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, Najib juga telah berjanji untuk berbincang dengan Sarawak mengenai peranan dan penyertaan neg- eri ini dalam industri minyak dan gas.

“Apabila beliau menyebut, beliau akan tunaikan dan sebab itu dalam PRU akan datang, kita tiada pilihan tetapi memberi sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Sarawak terus komited memberi sokongan penuh kepada Najib pada PRU14 sebagai kesinambun­gan pembanguna­n di negeri ini.

“Kita mahu beliau (Najib) terus menjadi Perdana Menteri dan dalam PBB apabila kita ikrar, kita akan kotakan ikrar itu. Saya yakin komponen BN lain juga sama,” katanya.

Menurut Abang Johari lagi, Perdana Menteri juga amat prihatin dengan hasrat Sarawak untuk mengambil balik haknya yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau menegaskan, Sarawak memberi jaminan akan kekal dalam Malaysia meskipun menuntut kembali haknya yang terhakis mengikut MA63.

“Untuk itu juga pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas, kami memutuskan satu resolusi bersetuju tiga timbalan ketua menteri mengetuai jawatankua­sa tertinggi bagi membincang­kan perkara ini.

“Saya yakin bahawa fasa pertama mengenai perbincang­an telah selesai dan kini fasa kedua yang membabitka­n perundanga­n kita,” katanya.

Tiga timbalan ketua menteri yang mengetaui jawatankua­sa tertinggi ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Maka, jika PRU ini kita mendapat A+ saya percaya beliau (Najib) bukan sahaja memberi (peruntukan) tetapi bertanya apa lagi kita mahu... kita tak minta banyak, hal minyak sudah cukup.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Ketua Menteri

 ??  ?? RASMI: Najib melakukan simbolik perasmian sambil disaksikan Abang Johari, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua kanan). Turut kelihatan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar...
RASMI: Najib melakukan simbolik perasmian sambil disaksikan Abang Johari, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua kanan). Turut kelihatan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia