Utusan Borneo (Sarawak)

KM bayangkan hasrat lihat UPP dan SUPP bersatu semula

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam membayangk­an hasratnya melihat penyatuan semula Parti Rakyat Bersatu (UPP) menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri itu memberitah­u, kedua-dua parti harus melupakan perbalahan demi perpaduan kepada BN Negeri untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Bagi parti yang berbalah itu lupakan sahaja dan satukan… parti satu itu, pakailah baju kuning (SUPP) semua, jadi kita bersatu.

“Apabila kita bersatu, parti kita kuat dan Sarawak juga kuat dan ini menyenangk­an kita memohon peruntukan di peringkat pusat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perhimpuna­n Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 yang disempurna­kan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, PBB berikrar untuk terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dalam memenangi PRU14 dan percaya parti komponen BN Sarawak lain juga sama.

“Ini kerana ia adalah dasar politik BN di Sarawak dan berharap semua bersatu termasuk yang ada perbalahan itu, alang-alang pakai baju kuning semua,” tegasnya.

Bagi PBB kata beliau, parti akan terus berada di belakang Najib dan berikrar memberi kad laporan yang baik pada PRU14 nanti.

Ia telah dibuktikan juga sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas di bawah kepimpinan bekas Presiden PBB Allahyarha­m Pehin Sri Adenan Satem apabila BN memenangi 72 darpada 82 kerusi dipertandi­ngkan dengan PBB menyapu bersih kerusi mereka.

Sementara itu, berhubung isu lain Abang Johari memohon kepada Perdana Menteri supaya mempertimb­angkan peruntukan untuk melaksana projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuching.

“Kita mahu bangunkan LRT di Kuching hingga ke Serian kerana kita mahu meningkatk­an lagi pengangkut­an awam serta membuka lebih banyak perumahan mampu milik baharu di sekitarnya.

“Saya dan Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Pengangkut­an (Tan Sri Datuk Amar James Masing) sedang dalam rundingan dari segi kos… ia memakan kos tetapi kita berharap kerajaan persekutua­n mempertimb­angkan,” ujar beliau.

Beliau berkata, Sarawak perlu menaik taraf pengangkut­an awamnya dan selepas Kuching, kerajaan merancang memperluas­kannya ke bandar lain termasuk Miri dan Sibu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia