Utusan Borneo (Sarawak)

Dana tambahan dipohon baiki jalan rosak akibat banjir: Fadillah

-

KUCHING: Kementeria­n Kerja Raya akan memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutua­n bagi membaik pulih jalan raya di Sarawak yang rosak akibat banjir.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeria­nnya bekerjasam­a rapat dengan kerajaan negeri bagi mendapatka­n peruntukan itu dalam masa terdekat.

“Beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat banjir merupakan jalan sedia ada yang telah rosak dan mengalami struktur tanah yang retak akibat takungan air hujan.

“Ini kerana jalan sedia ada mengguna pakai reka bentuk lama yang tidak bersesuaia­n dengan had muatan kenderaan sekarang. Untuk menangani masalah ini, kami memerlukan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat,” katanya.

Beliau bagaimnapu­n tidak menyatakan jumlah peruntukan yang dipohon bagi tujuan itu.

Fadillah berkata demikian pada sidang akhbar Perhimpuna­n Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 di Kuching, semalam.

Sementara itu, mengenai kerja baik pulih sekolah daif di negeri ini, Fadillah berkata semua kerja-kerja pembaikan ke atas 129 sekolah terbabit akan melibatkan kerjasama Kementeria­n Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Katanya, sekolah yang dibina di atas tanah persekutua­n akan diuruskan oleh Kementeria­n Pendidikan, manakala sekolah yang dibina di atas tanah kerajaan negeri akan berada di bawah JKR Sarawak.

“Untuk fasa pertama, terdapat 74 sekolah di bawah Kementeria­n Pendidikan dan 55 sekolah di bawah JKR Sarawak. Untuk makluman, kerja baik pulih telah pun dimulakan,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Fadillah yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan PBB menyatakan komitmenny­a untuk bersama pucuk kepimpinan parti dalam memperjuan­gkan visi dan misi membawa Sarawak maju ke hadapan.

“Saya akan bersama-sama pemimpin lain mendukung visi dan misi Presiden parti, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membawa Sarawak melangkah ke hadapan terutama dalam aspek pembanguna­n era teknologi terkini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia