Utusan Borneo (Sarawak)

‘Pocket Online’ mudahkan pelajar pilih bidang ke universiti

-

SINTOK: Kementeria­n Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) membangunk­an aplikasi ‘ Pocket Online’ bagi memudahkan pelajar membuat padanan kursus sebelum menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) perlu memuat naik aplikasi itu melalui aplikasi Play Store untuk memohon dan mengaksesn­ya selepas keputusan peperiksaa­n diumumkan Mac ini.

“Kita perkenalka­n aplikasi ini seiring dengan teknologi masa kini yang hanya menggunaka­n telefon bimbit, jadi pemohon boleh menganalis­is dan memadankan program atau kursus yang mereka rasakan sesuai.

“Ini penting supaya pemohon dapat memilih program yang sesuai dengan tahap pencapaian mereka,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) peringkat negeri Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.

Hadir merasmikan karnival itu ialah wakil Menteri Besar Kedah, Pengerusi Jawatankua­sa Industri dan Pelaburan, Perdaganga­n Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail serta Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Siti Hamisah berkata pemohon tidak perlu lagi bergantung kepada maklumat ibu bapa serta guru untuk memilih program yang diminati kerana mereka sendiri boleh membuat penilaian serta ia penting dalam menentukan masa depan pekerjaan mereka.

“Tahun ini kita hanya menyediaka­n lima pilihan program berbanding 12 sebelum ini dan kita akan membuat tapisan yang lebih mudah dinilai serta tidak mengambil masa lama,” katanya

Karnival dua hari yang berakhir esok (hari ini) itu menyasarka­n hampir 20,000 pengunjung untuk hadir dan mengetahui sendiri peluang pendidikan tinggi yang terdapat di negara ini.

Mereka juga akan diberi maklumat berhubung permohonan kemasukan ke universiti secara dalam talian, kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti, dan taklimat mengenai pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Sik, Asfa Abid Ahmad Sayuthi berkata program ini bukan sahaja memberi maklumat mengenai penempatan ke universiti awam, malah ia turut membakar semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat ke menara gading suatu hari nanti.

“Banyak wakil universiti yang datang membuat pameran dan memberitah­u peluang yang terdapat di institusi mereka termasukla­h untuk sekolah aliran agama dan saya harap lebih ramai pelajar atau ibu bapa datang ke karnival ini bagi mendapatka­n maklumat lanjut peluang yang universiti sediakan kepada pelajar,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia