Utusan Borneo (Sarawak)

Negara lain tidak perlu gusar permintaan ekstradisi etnik Uighur

-

BATU PAHAT: Mana-mana negara tidak perlu gusar terhadap Malaysia yang menerima permintaan rasmi daripada China untuk mengekstra­disi 11 etnik Uighur Islam yang dilaporkan ditahan di negara ini selepas melarikan diri dari penjara Thailand, tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia sedang mempertimb­angkan permintaan China itu, namun siasatan terperinci sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada dalam kalangan 11 individu itu terlibat dalam keganasan.

“Kita telah memperoleh­i permintaan rasmi daripada China untuk 11 orang Uighur yang telah ditangkap di Thailand yang masuk negara itu daripada wilayah Yunan terutama yang datang dari Urumqi dan beberapa wilayah lain di China (yang dilaporkan telah ditahan di Malaysia).

“Prinsip kita ialah kalau sesebuah negara memohon supaya rakyat mereka diekstradi­si, kami (akan buat) keputusan berdasarka­n perjanjian ekstradisi yang termaktub di dalam Bantuan Perundanga­n Bersama (MLA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Bersama Kepimpinan Negara Sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam. Turut hadir isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UTHM Prof Dr Wahid Razzaly.

Ahmad Zahid berkata oleh kerana Malaysia mempunyai MLA dan perjanjian ekstradisi dengan pihak China, maka perjanjian-perjanjian tersebut perlu dihormati.

Beliau berkata Malaysia sebelum ini juga mengemukak­an permohonan ekstradisi apabila ada rakyat negara ini yang ditahan di China kerana terlibat pemalsuan kad kredit dan beberapa jenayah lain, untuk dibawa ke Malaysia untuk dihukum atau didakwa.

Katanya, oleh itu Malaysia memberi pertimbang­an terhadap permintaan China tersebut dan tentunya mana- mana negara tidak perlu khuatir terhadap tindakan dilakukan Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia