Utusan Borneo (Sarawak)

Gattuso gembira dengan ketibaan Calhanoglu

-

MILAN: Jurulatih AC Milan Gennaro Gattuso menyuaraka­n rasa gembira kelmarin selepas dia menyedari bagaimana penyerang Turki Hakan Calhanoglu telah menjadi ‘ seorang pemain yang begitu lengkap’ setelah memulakan kehidupan dengan sukar di Itali.

Pemain antarabang­sa Turki berusia 24 tahun itu menyertai Milan dari Bayer Leverkusen pada musim panas lalu dengan harga yang dilaporkan sebanyak 22 juta euro (RM103 juta) tetapi tidak dapat berkembang di bawah jurulatih lama Vincenzo Montella.

Gattuso mengambil alih pada November lalu dan Calhanoglu kelihatan lebih selesa, mencipta dan menjaringk­an gol dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam Serie A.

Gattuso, yang bercakap sebelum lawatan kelabnya ke SPAL semalam, berkata: “Pada pendapat saya, seluruh pasukan sudah meningkat. Tetapi sejujurnya, saya tidak menjangka Hakan akan meningkat seperti apa yang telah berlaku kepadanya. Dia hanya berusia 24 tahun, saya amat menyukainy­a dan dia telah meyakinkan saya. Saya tidak menjangka dia akan menjadi pemain yang begitu lengkap.

“Hakan (Calhanoglu) dan Jack (Bonaventur­a) bermain dengan kesinambun­gan dan mereka bermain dengan baik. Ia mengenai penyelaras­an di antara mereka.

“Saya sentiasa cuba menurunkan pasukan terbaik. Saya sangat gembira dengan pemain saya, dengan komitmen mereka dan keinginan yang mereka tunjukkan di atas padang.

“Kami perlu meneruskan momentum kerana apabila anda menang, ia adalah lebih mudah untuk bersiap sedia bagi perlawanan seterusnya.”

Gattuso percaya Milan – yang menduduki tempat kelapan – malah dapat memberikan cabaran untuk tempat dalam Liga Juara-Juara selepas prestasi Inter Milan, Lazio dan Roma menurun kebelakang­an ini.

Milan – 10 mata di belakang Inter Milan yang menduduki tempat keempat dan tempat kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara – tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir dan mahu merapatkan jurang dengan Sampdoria dan Atalanta. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia