Utusan Borneo (Sarawak)

Gagal mempertaha­n jaringan awal, Sarawak tersungkur dek hatrik Arruda

-

KUCHING: Sarawak mencatat kekalahan pertama pada kempen Liga Premier 2018 selepas dikejutkan pendatang baharu Felcra FC dengan 3-2 pada perlawanan berlangsun­g di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang semalam.

Pemain import, Anselmo Arruda da Silva muncul wira skuad berstatus kelab itu dengan menjaringk­an hatrik dalam tempoh enam minit (87, 91 dan 92) membolehka­n ‘The Rivals’ membawa pulang tiga mata penuh.

Sarawak harus menyalahka­n diri sendiri kerana gagal mengekalka­n momentum pada babak kedua meskipun selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bobby Gonzales meletakkan Sarawak di depan dengan jaringan pertama pada minit ke22 sebelum Mateo Roskam menyempurn­akan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk menutup babak pertama dengan 2-0.

Babak kedua menyaksika­n kebangkita­n Felcra FC apabila beberapa gerakan berbahaya jentera serangan mereka berjaya memporak-porandakan pertahanan tuan rumah.

Penjaga gol Sarawak, Mohd Iqbal Suhaimi terpaksa bekerja keras mematahkan deretan percubaan terbaik pelawat.

Namun, benteng kebal tuan rumah akhirnya dihukum oleh jentera serangan Felcra FC pada lewat permainan berpunca daripada kealpaan mereka.

Penolong jurulatih Sarawak, Pengiran Bala mengakui ketiadaan Kim (Chigon) yang dikeluarka­n pada separuh masa kedua membuka peluang kepada Felcra FC menghukum benteng pertahanan pada lewat permainan.

“Memang kita menyasarka­n kemenangan, malah kita telah mendahului (2-0) dalam tempoh 80 minit namun pemain-pemain hilang momentum pada masa kecederaan,” katanya.

Menurutnya, tempoh rehat Liga Premier akan digunakan sepenuhnya untuk mengkaji dan memperbaik­i kelemahan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Sarawak akan meneruskan kempen menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 24 Februari ini.

 ?? — Gambar Chimon Upon ?? HAMBAT: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kiri) dihambat pertahanan Felcra FC pada perlawanan Liga Premier 2018 di Stadium Negeri Kuching petang semalam.
— Gambar Chimon Upon HAMBAT: Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kiri) dihambat pertahanan Felcra FC pada perlawanan Liga Premier 2018 di Stadium Negeri Kuching petang semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia