Utusan Borneo (Sarawak)

Jepun benam China 3-0, raih gelaran wanita

-

ALOR SETAR: Jepun memberi amaran awal kepada juara bertahan Piala Uber, China, mereka cukup bersedia merampas kejuaraan tersebut pada Mei ini, apabila membenam juara dunia itu 3-0 pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, semalam.

Pemain perseorang­an wanita nombor dua dunia, Akane Yamaguchi, bagaimanap­un terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 21-16, 12-21, 21-14 ke atas pemain nombor lapan dunia, Chen Yufei dalam masa 56 minit permainan.

Jepun meraih mata kedua menerusi pasangan beregu, Misaki Matsutomo- Ayaka Takahashi yang menewaskan Du Yue-Li Yinhui 21-13, 21-16.

Nozomi Okuhara muncul wira bagi memastikan kemenangan skuad Jepun apabila menumpaska­n pemain nombor sembilan dunia, He Bingjiao, 19-21, 21-16, 21-10.

Ketua jurulatih Jepun, Park Joo-bong menyifatka­n perlawanan akhir hari ini adalah saingan paling menarik sepanjang kejohanan berkenaan, dan beliau berpuas hati dengan prestasi pemainnya dengan menewaskan pasukan gergasi dunia itu, yang sudah tentunya satu pencapaian sangat membanggak­an.

“Sebenarnya ia lebih sukar daripada yang kita jangkakan, tetapi pemain saya beraksi dengan baik. Ia satu ujian yang baik kepada mereka kerana kita boleh menjangkak­an cabaran lebih getir di Bangkok (Piala Uber) kerana pada kejohanan ini, China tidak menyenarai­kan pemain terbaik mereka,” katanya.

Beliau berkata pasukannya sudah bersedia menghadapi cabaran saingan Piala Uber pada Mei depan, dan pemain yang mengalami kecederaan semakin pulih.

Sementara itu, pemain beregu Jepun, Matsutomo mengakui perlawanan menentang China adalah sengit, namun mereka tidak berasa tertekan untuk mengetepik­an cabaran pasukan terbaik dunia itu.

“Kita beraksi tanpa tekanan sama sekali. Kita beraksi seperti yang sudah diberitahu. Secara keseluruha­n permulaan yang baik bagi kami untuk menyumbang­kan mata dan memenangi perlawanan tersebut.

“Kita mahu belajar daripada pengalaman ini dan memperbaik­i prestasi masing-masing sebagai persiapan menjelang Piala Uber pada Mei depan,” kata Matsutomo. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? MILIK KAMI: Skuad Jepun menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan China pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar semalam.
— Gambar Bernama MILIK KAMI: Skuad Jepun menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan China pada final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia