Utusan Borneo (Sarawak)

PTKL dijangka diniagakan lengang

-

KUALA LUMPUR: Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka mencatatka­n dagangan lengang dan cenderung berada dalam aliran menurun pada minggu ini, kata seorang peniaga.

Beliau berkata bagi minggu yang baharu berakhir ini komoditi itu mencatatka­n prestasi bercampur-campur.

“Harga berada dalam aliran meningkat sejak 5 Jan tahun ini, sebelum menurun ke arah penghujung minggu ini (minggu lepas) berikutan pembetulan teknikal selepas ia mencecah paras AS$21,780 (AS$1 = RM3.93) setan metrik pada Rabu,” katanya.

Peniaga itu berkata PTKL dijangka lengang minggu ini menjelang perayaan Tahun Baharu Cina apabila para peniaga mungkin tidak memasuki pasaran dengan dagangan dijangkaka­n antara paras AS$21,400 dan AS$21,600.

“Harga dijangka melantun sedikit pada awal minggu ini sebelum cenderung menurun.

“Timah juga akan dijangka mencatatka­n prestasi yang sama dengan komoditi berasaskan logam lain di Bursa Logam London (LME) seperti tembaga, zink dan aluminium apabila hargaharga logam perindustr­ian itu dijangka terus susut dalam keadaan kekukuhan dolar AS, sentimen pasaran negatif dan lebihan bekalan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga di PTKL meningkat sebanyak AS$ 50 kepada AS$21,500 setan metrik daripada AS$21,450 setan metrik pada minggu sebelumnya.

Bagaimanap­un, di LME, logam itu jatuh sebanyak AS$625 untuk ditutup kepada AS$21,325 setan metrik daripada AS$21,950 setan metrik sebelumnya.

Jumlah dagangan minggu lepas meningkat kepada 274 tan metrik daripada 137 tan metrik.

Perbezaan harga antara PTKL dengan LME berada pada premium AS$ 175 setan metrik daripada diskaun AS$500 setan metrik pada minggu sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia