Utusan Borneo (Sarawak)

Pemansuhan GPS dalam KPI sekolah disambut baik ibu bapa

-

MIRI: Ibu bapa menyambut baik keputusan Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak lagi menjadikan Gred Purata Sekolah (GPS) sebagai asas penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah rendah.

Ibu tiga anak Syuhaira Mohd Zin berkata, langkah terbaharu KPM ini amat disokong kerana penetapan GPS hanya membuatkan guru hilang fokus mengajar kerana mengejar KPI, seterusnya memberi kesan kepada murid yang turut sama hilang fokus belajar.

“GPS bagi sekolah rendah banyak memberi kesan buruk terutama dari segi emosi dan tekanan kedua- dua pihak iaitu guru dan murid.

“Para guru yang ditekan pihak atasan untuk mengejar KPI kemudianny­a akan menekan murid yang akhirnya memberi kesan buruk dan tidak bagus kepada murid yang tidak dapat mencapai keputusan yang dimahukan pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini kelmarin.

Syuhaira yang juga pemangku pengarah Kampus Pusat Pembanguna­n Kemahiran Sarawak (PPKS) Cawangan Miri menambah, sekolah yang terbaik sekalipun turut mendapat tekanan disebabkan GPS kerana perlu mengekalka­n keputusan terbaik murid.

“Sekolah yang berprestas­i buruk tidak semestinya muridnya tidak bagus, ia bergantung kepada keupayaan pembelajar­an murid itu sendiri dan di sini peranan pihak sekolah penting untuk memastikan murid sentiasa cemerlang untuk memahami subjek di sekolah, bukannya mengejar markah peperiksaa­n.

“Saya percaya dengan langkah terbaharu ini, guru se- kolah rendah akan dapat dan lebih bebas memikirkan cara terbaik untuk memastikan murid bagus dalam pelajaran kerana tidak terikat kepada GPS,” katanya.

Namun baginya, KPM dan pihak sekolah perlu mencari cara lain yang kurang memberi tekanan emosi untuk mengukur kualiti pengajaran seseorang guru dan pencapaian sekolah tersebut.

“Ini bagi mengelakka­n seseorang guru itu mengambil jalan mudah dengan tidak mendidik secara terbaik kepada murid selepas pelaksanaa­n tanpa GPS bagi mengukur KPI sekolah rendah,” katanya.

Kelmarin, sebuah akhbar bahasa Melayu di Kuala Lumpur menyiarkan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin berkenaan langkah baharu KPM tersebut.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pelaksanaa­n Pelaporan Pentaksira­n Sekolah Rendah (PPSR) diberikan penekanan sepatutnya untuk menentukan membentuk murid secara holistik.

Beliau jelasnya, mahu murid sekolah rendah dididik secara holistik dan tidak mementingk­an pencapaian akademik semata-mata kerana mereka perlu dinilai secara menyeluruh di bawah empat komponen dalam PPSR yang mula dilaksanak­an tahun lalu.

Katanya, sekolah rendah tidak lagi perlu mengejar GPS kerana penilaian murid sekarang membabitka­n akademik, Pentaksira­n Psikometri­k (Ppsi), Pentaksira­n Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulu­m (PAJSK) dan Pentaksira­n Bilik Darjah (PBD).

 ??  ?? SYUHAIRA
SYUHAIRA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia