Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan kongsi kejayaan, bukan kongsi kemiskinan

-

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berkongsi kejayaan serta kekayaan dengan rakyat dan bukannya kemiskinan atau penderitaa­n seperti yang dialami oleh rakyat di sesetengah negara.

Najib berkata kejayaan negara menguruska­n pentadbira­n dan ekonomi negara dengan baik membolehka­n kerajaan mengagihka­n hasilnya kepada rakyat tanpa mengira kaum bagi meningkatk­an lagi taraf hidup mereka.

“Itu bukan bermakna negara tidak mempunyai orang miskin, namun jika tidak mempunyai pendapatan yang semakin meningkat, rakyat akan terpaksa berkongsi kemiskinan… Alhamdulil­lah pendapatan negara kita semakin meningkat.

“Pertumbuha­n ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun lepas mencecah 5.9 peratus menjadikan kedudukan ekonomi negara antara yang tertinggi di dunia, kalau orang kata Malaysia negara bankrap, perlu diselamatk­an atau Save Malaysia, maka itu adalah penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kongsi Kasih bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal FELDA negeri Pahang.

Pada majlis itu, seramai 3,650 penerima terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Orang Asli menerima sumbangan berupa angpau dan barangan keperluan harian.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata penarafan terhadap ekonomi Malaysia itu diberikan oleh badan antarabang­sa seperti Bank Dunia, Bloomberg dan Tabung Kewangan Antarabang­sa Fund (IMF).

Ini sekali gus, katanya membuktika­n tuduhan yang dilemparka­n oleh pembangkan­g itu hanyalah bertujuan untuk memburuk-burukan dan menjatuhka­n kerajaan semata-mata.

Menurutnya keadaan ekonomi yang kukuh juga membolehka­n kerajaan turut membantu rakyat negara lain memerlukan dan hasil pertolonga­n itu hubungan diplomatik Malaysia dengan negara berkenaan juga bertambah kukuh.

Selain itu, Najib berkata hasil nilai ‘perkongsia­n’ yang diamalkan oleh kerajaan selama ini baik dari segi kuasa politik mahupun ekonomi membolehka­n rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup bersatu padu dan harmoni.

“Kita tidak bolot kuasa atas nama satu-satu kaum sahaja dan kita ambil iktibar serta hakikat bahawa untuk negara berbilang agama dan kaum berjaya, kita mestilah sanggup menjalin hubungan akrab untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu,” katanya.

Najib juga berkata kepelbagai­an agama dan budaya menjadi keunikan Malaysia kerana ia membolehka­n rakyat berkongsi kemeriahan pelbagai perayaan, sekali gus menjadi pengikat hubungan sesama individu.

“Meriahnya kerana di sini kita sambut Hari Raya dan bila Tahun Baharu Cina kita juga sambut... begitu juga dengan Deepavali dan Krismas. Bukan hanya menyambut, tapi ada masanya kita juga sama-sama bercuti pada hari perayaan itu,” katanya.

Najib seterusnya secara berseloroh menambah beliau berharap semangat dan ikatan yang erat itu akan berkekalan pada satu lagi ‘raya’ yang akan diadakan tidak lama lagi, merujuk kepada Pilihan Raya Umum Ke-14. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia